Maxis hari ini telah mengeluarkan beberapa data termasuk keuntungan mereka untuk suku-tahun pertama, dimana melaluinya Maxis memperlihatkan yang mana buat masa ini, Maxis mempunyai lebih 3.3 juta pelanggan yang melanggan pasca-bayar dan jalur-lebar mudah-alih daripada mereka, serta pelanggan pra-bayar seramai lebih 10.8 juta langganan.
Dengan itu, ianya sekaligus menjadikan Maxis terus mendahului pasaran telekomunikasi negara dengan mempunyai lebih 14.1 juta langganan pada suku tahun pertama tahun ini.
Pada masa yang sama, Maxis juga mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM741 juta bagi tarikh berakhir 31 Mac 2011. Pendapatan kasar Maxis sepanjang tempoh masa itu pula adalah sebanyak RM2.133 billion, memperlihatkan penurunan berbanding RM2.152 billion yang dicatatkan sebelum ini.
Sepanjang tempoh itu juga Maxis telah memperkenalkan pelbagai peranti baru di pasaran tempatan, selain membawa masuk beberapa tablet dan peranti pintar yang serba baru, lebih pantas daripada negara-negara maju yang lain. Selain daripada itu, Maxis turut melancarkan perkhidmatan internet jalur-lebar mereka tersendiri, Maxis Home pada awal tahun ini.
Mungkin kita akan dapat melihat perkembangan sihat, dan juga persaingan sihat diantara penyedia-penyedia telekomunikasi yang lain sepanjang tahun ini.