Setelah membolehkan para pengguna memuat-turun Firefox 5.0 melalui pelayan FTP sebelum ini, kini hari ini pihak Mozilla secara rasminya melancarkan Firefox 5 kepada umum, sekaligus memperkenalkan versi pertama Firefox yang menggunakan latar masa pembangunan pantas yang baru diperkenalkan oleh mereka.
Melalui Firefox 5, Mozilla membawakan beberapa sokongan tambahan kepada animasi CSS, prestasi JavaScript dan pengurusan memori yang ditambah-baik, sokongan HTML5, XHR, SMIL, canvas dan lain-lain yang diperbaiki, integrasi bersama desktop untuk pengguna Linux yang ditambah-baik, serta membawakan kestabilan dan sekuriti yang ditambah baik lagi.
Bagi para pengguna yang berminat, anda boleh memuat-turun Firefox 5 untuk Windows, Linux dan juga Mac OS X dalam pelbagai variasi bahasa secara percuma. Bersama-sama dengan pengumuman Firefox 5, ianya sekaligus memperlihatkan yang mana Firefox 6 bakal menemui para pengguna dalam beberapa bulan lagi, dengan Firefox 6 Beta bakal dilancarkan pada 5 Julai kelak dan pada tarikh yang sama pembangunan Firefox 7 akan beralih kepada saluran Aurora.