Cari @ Amanz

Nampaknya, kini Google dalam perancangan untuk menambah protokol komunikasi sumber terbuka yang dipanggil sebagai WebRTC pada pelayar web Chrome mereka, selain pada masa yang sama turut diintegrasikan pada pelayar-pelayar web yang lain dengan mudah, sekaligus membawakan fungsi sembang suara dan video terus pada pelayar web.

Melalui WebRTC, ianya membawakan fungsi dan kebolehan untuk berkomunikasi dengan mudah melalui sebarang web, dan terus membolehkan para penggunanya berkomunikasi menggunakan hanya pelayar web sahaja, tanpa perlu sebarang aplikasi pihak ketiga yang lain. WebRTC juga dijangka akan diintegrasikan oleh pembangun pelayar web lain, termasuk Opera dan juga Firefox tidak lama lagi.

Google sendiri boleh dilihat sebagai suatu pihak yang berjaya dalam komunikasi atas talian, dimana mereka telah berjaya mempopularkan Google Talk pada pelayar web, selain pada masa yang sama membawakannya pada peranti mudah-alih melalui Android. Dan kini, melalui WebRTC, ianya akan membawakan sokongan komunikasi terus pada perkomputeran awan, dan membawakan komunikasi mudah-alih ke suatu tahap yang baru.

Mungkin juga ianya akan memberikan saingan yang hebat kepada Skype milik Microsoft. Sama-sama kita ikuti perkembangan WebRTC daripada Google dan pembangun dan penyokong sumber terbuka yang lain.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd