iOS 5 yang diumumkan oleh Apple pada WWDC yang lepas, kini telah pun mencapai versi beta kedua, membawakan penambahan pelbagai fungsi baru sejak iOS 5 Beta pertama sebelum ini, termasuk perubahan sedikit dari segi antaramuka, dan sokongan kemaskini OTA melalui 3G.
Seperti sedia maklum, sebelum ini pada WWDC yang lepas, Apple telah pun mengumumkan salah satu fungsi menarik pada platform lain yang menjadi permintaan para pengguna iOS, iaitu kemaskini terus pada peranti tanpa melalui iTunes, dan kini ianya kelihatan yang mana fungsi kemaskini OTA ini telah pun didatangkan, menyokong kemaskini melalui WiFi dan juga 3G.
Buat masa ini, tarikh pasti untuk pelancaran iOS 5 masih tidak diketahui lagi. Namun mungkin kita boleh menantikannya dalam masa beberapa bulan lagi, bertambah lagi, ianya diperkatakan yang mana iPhone 5 bakal didatangkan bersama-sama iOS 5 pada bulan Ogos atau September kelak.