Sepanjang minggu ini, pelbagai perubahan telah berlaku pada laman-laman sosial terkemuka, termasuk melibatkan Friendster, MySpace, dan Facebook, selain turut sama melibatkan penyertaan pesaing baru dalam dunia rangkaian sosial, iaitu Google melalui Google+.
Seperti kebiasaan, awal minggu ini dimulakan dengan data semasa daripada laman sosial terkemuka dunia, iaitu Facebook yang kini dilaporkan telah melangkaui angka 750 juta pengguna. Namun, pihak Facebook sendiri belum mengesahkan perkara tersebut. Tambahan lagi, ianya diperlihatkan yang mana pengguna Facebook Malaysia merupakan antara negara Asia yang mana Facebook meningkat naik dengan drastik, dengan sejak enam bulan lepas, memperlihatkan penambahan pengguna seramai 17.91%.
Seterusnya, pada minggu yang sama juga, MySpace beralih kepada pemilik baru, dimana rangkaian sosial yang suatu masa amat popular, diambil-alih oleh Specific Media pada harga $35 juta. Mungkin News Corp, pemilik asal laman tersebut tidak lagi dapat menanggung kos untuk menjalankan laman sosial yang pernah dibeli dulunya pada harga $580 juta.
Friendster daripada MOL Global pula memulakan perubahan drastik, dimana setelah meminta para pengguna untuk membuat salinan data pada laman mereka, kini ianya dilihat semuanya telah dipadam, dan digantikan dengan laman sosial berkonsepkan permainan, dan menggunakan Facebook Connect untuk mendaftar masuk.
Dan sepanjang minggu ini, salah satu berita yang menjadi sebutan ramai pengguna adalah Google+, dimana Google telah pun memperkenalkan rangkaian sosial serba menarik mereka, dengan kawalan privasi yang amat berguna kepada semua penggunannya, selain sebuah aplikasi Android juga telah diperkenalkan. Walaupun masih lagi dalam fungsi beta tertutup, pelbagai fungsi menarik didatangkan bersama, termasuk sokongan panggilan video dan sebagainya.
Beberapa berita lain, termasuklah laman sosial Tagged turut memperkenalkan aplikasi BlackBerry untuk para pengguna mereka, selain sebuah rangkaian sosial baru dijangka akan menemui para pengguna tempatan pada penghujung Ogos ini, iaitu Foozy.my yang lebih memfokuskan kepada komuniti bola sepak. Twitter juga turut melaporkan yang man kini pengguna mereka menghantar lebih daripada 200 juta tweet sehari.