Kini ianya dilaporkan yang mana beberapa kedai Apple telah pun merancang sesuatu pada malam Julai 13, berkemungkinan bersedia untuk pelancaran beberapa produk baru Apple, termasuk Mac OS X Lion dan juga MacBook Air baru yang dinantikan. Mungkin perkara ini juga sekaligus menepati ura-ura berkaitan pelancaran produk pada 14 Julai kelak.
Sebelum ini, beberapa ura-ura telah memperkatakan yang mana Apple bakal melancarkan Mac OS X Lion pada 14 Julai kelak. Dan memandangkan ianya merupakan salah satu kemaskini sistem operasi mereka, ianya juga bakal diikuti pelancaran salah satu produk yang dinantikan sekian lama, iaitu generasi baru MacBook Air. Selain daripada itu, OS X 10.7 akan dilancarkan melalui Mac AppStore, dan mungkin beberapa latihan akan dilakukan untuk pekerja mereka bagi membantu mereka yang hadir dengan peranti OS X ke kedai mereka pada hari tersebut.
Mac OS X Lion sebelum ini telah diumumkan pada WWDC, dan Apple telah mengatakan akan melancarkannya pada bulan Julai ini, dan sekiranya semuanya berjalan lancar, mungkin kita akan dapat melihat pelancarannya pada minggu hadapan. Sama-sama kita nantikannya.