Nokia Maps merupakan antara perkhidmatan pemetaan yang popular dan terbaik disediakan, dan menariknya, selain daripada untuk Symbian, kini mereka juga turut sama menyokong platform mudah-alih yang lain, termasuk Android dan juga iOS, sekaligus membolehkan pengguna iOS dan Android menikmati Nokia Maps pada peranti mereka.
Walaubagaimanapun, buat masa ini, ianya hanya disokong berasaskan pelayar web sahaja, dan mungkin aplikasinya akan diperkenalkan. Bagi para pengguna iOS dan Android, mereka boleh mengakses Nokia Maps dengan mudah, dengan melayari m.maps.ovi.com serta menggunakan beberapa fungsi menarik padanya.
Melaluinya, para pengguna Android dan iOS boleh mencari lokasi semasa mereka, selain turut sama menetapkan perjalanan mereka ke sesuatu lokasi yang diinginkan mereka. Buat masa ini, tiada sokongan panduan suara dan turn-by-turn yang disokong olehnya.
Sebelum ini, Nokia turut sama telah mengumumkan perkhidmatan Nokia Maps untuk Windows Phone, memandangkan mereka akan menggunakannya dalam peranti baru mereka tidak lama lagi, dan dengan sokongan Android dan iOS, ianya boleh dikatakan kini Nokia Maps menyokong beberapa platform utama mudah-alih. Mungkinkah kelak ianya akan dapat bersaing dengan Google Maps?