Nampaknya mungkin tidak lama lagi aplikasi TableFour.Us untuk para pengguna iPhone akan dilancarkan, dimana kini pihak pembangunnya telah pun mengemaskini halaman utama web mereka, dan memaparkan beberapa antaramuka untuk aplikasi tersebut, dengan turut menyertakan mesej, menunjukkan yang mana aplikasi tersebut bakal dilancarkan.
Seperti mana yang diperkatakan sebelum ini, TableFour.us merupakan salah satu aplikasi yang membolehkan para pengguna mengetahui restoran baru berdekatan, dan pada masa yang sama membuat tempahan meja terus melalui aplikasi tersebut dengan mudah. Mereka juga boleh berkongsikannya melalui laman sosial, seperti Facebook, dan pada masa yang sama membaca ulasan, dan mengulas mengenai sesuatu restoran itu dengan mudah.
Bagi pihak restoran pula, pihak TableFour.us membawakan pakej yang menarik, dimana mereka hanya perlu membayar sebanyak RM1.50 untuk setiap tempahan yang dihadiri oleh pengguna, dan mereka boleh menyenaraikan restoran mereka dengan mudah pada senarai restoran tersebut. Notifikasi turut dihantarkan oleh pihak TableFour.us kepada pemiliki restoran melalui SMS.
Buat masa ini, pihak TableFour.us sedang menunggu aplikasi mereka disahkan oleh pihak Apple, sebelum melancarkannya secara rasmi kepada semua pengguna. Ianya masih tidak diketahui samada adakah ianya akan dilancarkan untuk pengguna Android dan platform lain, ataupun tidak.