Google Maps 5.7 untuk Android baru sahaja dilepaskan pada awal bulan Julai tempoh hari, dan kini Google bergerak pantas, dan telah pun mengeluarkan kemaskini untuknya, iaitu Google Maps 5.8 dengan pelbagai perkara baru, menjadikan aplikasi peta dan navigasi daripada Google itu semakin menarik lagi.
Apa yang dapat dilihat secara rambangnya adalah dimana Google Maps 5.8 membawakan integrasi Google Places dan Latitude secara lebih mendalam, dan turut memperkenalkan sebuah perkara baru dipanggil My Places. My Places sebelum ini diperkenalkan pada pengguna desktop, dan kini disokong pada Android, membolehkan anda mengakses halaman yang anda tandakan dan laman-laman Places yang anda lawati baru-baru ini diperlihatkan padanya.
Selain daripada itu, kini para pengguna boleh memuat-naik gambar ke Google Places dengan mudah, sekaligus menjadikan sesuatu halaman Google Places itu lebih menarik lagi untuk rujukan orang lain, dan anda sendiri.
Google Maps 5.8 juga turut sama membolehkan para pengguna menambah Places yang baru dengan mudah dan pantas apabila hendak mendaftar masuk ke dalam sesuatu lokasi itu. Selain itu, fungsi eksperimental untuk memuat-turun data peta sebelum ini, kini dikenali sebagai “Pre-Cache Map Area” dan menerima fokus yang lebih daripada sebelumnya.
Para pengguna Android 2.1 dan terkini boleh memuat-turun Google Maps 5.8 untuknya secara terus melalui Android Market, dan mencuba pelbagai fungsi lain lagi yang didatangkan padanya.