Nampaknya, kini Google turut sama bakal melancarkan perkhidmatan seumpama CloudFlare, dimana Google akan menyediakan perkhidmatan untuk menarik kandungan daripada pelayan anda, dan hos akan kandungan tersebut pada pelayan Google diseluruh dunia, dan pada masa yang sama menjimatkan masa sesuatu web itu dibuka.
Seperti sedia maklum, Google sememangnya obses dengan kelajuan, dan melalui perkhidmatan baru yang dipanggil sebagai Page Speed Service ini, ianya akan membolehkan para pengguna dan pembangun web turut sama menikmatinya dengan mudah. Selain daripada kelajuan, berkemungkinan para pengguna turut sama boleh menikmati ciri-ciri keselamatan memandangkan DNS ditujukan kepada Google.
Melaluinya, Google turut menjanjikan yang mana mereka akan menjadikan sesuatu web itu lebih pantas antara 25% hingga 60% berbanding sebelumnya. Perkhidmatan ini dijangka akan dilancarkan dalam versi ujian percuma untuk mereka yang terpilih terlebih dahulu, sebelum diperkenalkan kepada semua tidak lama lagi.