Seperti sedia maklum, HackWeekend Kuala Lumpur telah diadakan semalam dan juga hari ini, yang mana memperlihatkan kehadiran yang menarik, dan sebanyak 12 projek berasaskan web telah dibangunkan dalam tempoh kurang sehari, dan dipersembahkan kepada para hadirin.
Berikut merupakan sebanyak 12 projek yang diperlihatkan, dan kami akan perkenalkannya secara lebih mendalam dalam artikel akan datang sepanjang minggu ini;
Campr
Ingin berkenalan dengan rakan-rakan baru disesuatu lokasi atau acara mungkin sedikit sukar, dan mungkin kita terlepas untuk berjumpa dengan rakan-rakan lain di sesuatu tempat. Perkara ini cuba diatasi dengan Campr, dimana para pengguna disesuatu acara boleh log masuk kepadanya, dan melihat rakan-rakan lain dilokasi tersebut.
Selain itu, pada masa yang sama menambah status berkenaan sesuatu yang sedang anda cari, seperti “Memerlukan Pengaturcara” dan ianya akan diperlihatkan kepada semua hadirin di sesuatu acara dan lokasi yang sama.
Ianya pada masa yang sama, menambah interaksi dikalangan hadirin, dan membolehkan mereka mengenali satu sama lain dengan mudah.
Qwest
Qwest merupakan salah satu aplikasi menarik yang mana memperlihatkan pertanyaan soalan berkenaan sesuatu lokasi, seperti “Tempat Makan Menarik” dan sebagainya, dan melalui aplikasi tersebut, ianya membolehkan rakan-rakan mereka yang lain menjawab persoalan tersebut berdasarkan fungsi geolokasi.
Pada masa yang sama, selain daripada rakan-rakan mereka yang boleh menghantar jawapan berdasarkan lokasi, mereka juga boleh mengundi jawapan rakan-rakan yang lain, sekaligus membolehkan yang bertanya soalan itu membuat keputusan dengan mudah dan senang.
Matchaa
Mungkin ramai yang ketahui FaceMash yang dibangunkan oleh pembangun Facebook. Ianya menggunakan konsep lebih kurang sama, tetapi disamping membandingkan dua orang berdasarkan rupa, Matchaa lebih kepada kebijaksanaan.
Melalui Matchaa, dua rakan akan dibandingkan dan pelbagai soalan akan ditanya kepada mereka, dan jawapan salah seorang yang lebih menarik, akan menjadi pemenang, dan diberi gelaran Matchaa.
Untuk menggunakannya, anda hanya perlu log masuk menggunakan akaun Facebook, dan seterusnya memilih dua orang rakan, dan soalan yang ingin ditanya. Kemudian, kedua-dua rakan anda itu akan menerima emel, dan membolehkan mereka menjawab soalan yang ditanya itu.
Lubang Lubang 1Malaysia
Salah satu masalah di jalan raya di sekitar Malaysia, adalah jalan raya yang berlubang dan tidak sekata. Masalah ini diambil-berat, dan cuba diselesaikan menggunakan aplikasi Lubang-Lubang 1Malaysia, dimana para pengguna boleh memuat-naik gambar yang memperlihatkan masalah jalan raya tersebut, dan dikongsikan bersama rakan yang lain, supaya mereka lebih berhati-hati. Disamping itu, rakan-rakan lain juga turut sama boleh mengundi kepada sesuatu gambar masalah jalan raya yang diperlihatkan itu.
World War Tweet
Kadangkala penggunaan hashtag pada Twitter mungkin sedikit bosan. Namun mungkin ianya boleh diatasi dengan World War Tweet ini, yang mana memperkenalkan konsep populariti berdasarkan hashtag Twitter, dan membawakan elemen-elemen seperti perang.
Melaluinya, semakin popular hashtag Twitter anda, semakin banyak senjata anda dapat, yang mana boleh digunakan untuk menyerang pihak lawan anda, ataupun pada masa yang sama, memulihkan tenaga rakan-rakan sepasukan anda.
Cab APB
Cab APB memudahkan para pengguna berhubung dengan pemandu teksi, dimana melalui aplikasi ringkas tersebut, ianya membolehkan para pengguna yang inginkan perkhidmatan teksi menghantar permintaan padanya, yang mana kemudiannya, diperlihatkan kepada para pemandu teksi berhampiran, sekaligus memudahkan seseorang itu mendapatkan perkhidmatan teksi.
Ini juga bakal mengatasi masalah teksi yang sukar didapati dibeberapa kawasan, memerlukan para pengguna menunggu untuk suatu masa yang lama untuk mendapatkan perkhidmatan pengangkutan, sekiranya ianya digunakan secara meluas.
CarPool Tunnel
Melalui CarPool Tunnel, para pengguna boleh berkongsikan lokasi yang ingin dituju oleh mereka, da seterusnya memperlihatkan kepada yang lain, dan membolehkan mereka berkongsi kenderaan dan kos yang terbabit seperti minyak dan tol.
Ianya mungkin amat berguna kepada para pelajar disesuatu kolej, mereka yang ingin ke tempat kerja sama, ataupun yang ingin ke sesuatu acara. Pada masa yang sama, ianya turut menyelesaikan pelbagai masalah lalu lintas, dan juga masalah untuk tempat meletak kenderaan yang tidak mencukupi, serta menjimatkan kos pengangkutan.
Hey Hey
Mungkin kita mudah terlupa rakan-rakan yang pernah kita jumpa sebelum ini, seperti terlupa nama bagi seseorang dan sebagainya. Dengan aplikasi HeyHey, ianya membolehkan para pengguna berinteraksi dengan rakan-rakan yang mereka baru berjumpa, selain berkongsi maklumat hubungan dengan mudah, dan tidak lagi perlu melalui cara tradisi, dan mengatasi masalah lambakan kad nama.
BigApp
BigApp turut sama membawakan fungsi permainan pada Twitter, dimana mereka yang berminat boleh melancarkan permainan padanya berdasarkan samada hashtag ataupun @mention, dan boleh disesuaikan bagaimanakah ianya boleh dimainkan.
Aplikasi ini amat bersesuaian dengan jenama-jenama yang gemar menggunakan platform Twitter untuk memperkenalkan pertandingan ataupun permainan, sepertimana yang dilakukan oleh MayBank baru-baru ini.
C4Square
Bosan bermain FourSquare? Kini anda boleh menjadikan penggunaan geolokasi pada Twitter anda lebih menarik, dimana anda boleh menanam bom dan letupan maya setiap kali anda mendaftar masuk kesesuatu lokasi itu. Kemudian, sekiranya pengguna lain mendaftar masuk kelokasi yang sama, ianya akan meletup, dan mematikan mereka.
Namun begitu, setiap bom maya yang ditanam, hanya bertahan lebih kurang 48 jam sahaja, dan memerlukan anda lebih kerap mendaftar masuk kesesuatu lokasi dengan hanya tweet menggunakan fungsi geolokasi.
WorkPad
Ingin mencari pekerja sampingan untuk bekerja dan membangunkan sesuatu projek? Maka mungkin WorkPad adalah bersesuaian untuknya, dimana para pengguna dan pembangun boleh menghantar permintaan pertolongan (dengan bayaran), ataupun melihat projek-projek sedia ada untuk disertai oleh anda.
ShortcutKami
ShotcutKami seperti mana yang telah kami perlihatkan semalam, merupakan salah satu cara untuk para pengguna berkongsi jalan pintas kesesuatu lokasi dengan mudah. Para pengguna boleh menghantar laluan yang mereka gunakan, disamping melihat laluan yang dikongsikan rakan-rakan lain dengan mudah melaluinya.
……
Kami akan melihat setiap satu aplikasi ini dengan lebih dekat dalam hari-hari akan datang, dan memberikan maklumat lanjut berkaitan dengannya.
Kesemua video diatas dirakam menggunakan Blackberry Playbook. Versi HD ada di saluran Youtube Amanz Network