SKMM Tingkatkan Sekatan Keatas Laman Sesawang Sempena Ramadan

SKMM Tingkatkan Sekatan Keatas Laman Sesawang Sempena Ramadan

Diterbitkan pada Ogos 4, 2011 oleh .

TechTrollBelum pun amarah penggodam hilang selepas beberapa laman perkongsian fail disekat aksesnya, hari ini pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia mengesahkan laman-laman lucah pula akan disekat di Malaysia mulai esok. Sekatan terbaru ini adalah sempena menghormati bulan Ramadan yang mulia. Seperti sekatan sebelum ini, sekatan akan dilakukan berdasarkan alamat IP bagi memastikan pintasan menggunakan DNS tidak boleh dilakukan.

Ketua bahagian potong-memotong , halang-menghalang dan sensor-menyensor SKMM Dato Paduka Muhammad Ismail berkata sekatan terhadap laman lucah ini hanya akan kekal sepanjang bulan puasa sahaja. Pihak kami sempat mendapatkan komen dari Dato Paduka Muhammad Ismail ketika program berbuka SKMM bersama rakan-rakan saiber di Putrajaya sebentar tadi.

“Pihak kami tahu laman mana yang paling banyak dilayari untuk mencari barang baik. Bedasarkan ranking yang ada kami menyekat hampir 2000 laman sesawang lucah paling popular di Malaysia. Kami juga tahu pengguna internet Malaysia celik IT maka kami sekat alamat IP-nya terus. Anggaplah apa yang dilakukan SKMM ini sebagai petanda untuk kurangkan membuat onar dibulan mulia. Jika sekatan tahun ini mendapat timbal balas positif tahun hadapan program sekatan akan diperkembangkan dengan menghalang laman gossip artis pula yang kandungannya lebih fitnah dari fakta. Sebagai orang Islam, membaca bahan sampah sebegini juga tidak elok di bulan Ramadan”

Sekatan terbaru ini sudah pasti membuatkan pengguna internet di Malaysia berang. Seorang pengguna Twitter yang menggunakan nama panggilan LubukTupah87 menulis “Hak asasi saya sebagai lelaki bernafsu tidak songsang sudah dicabuli sekali lagi. Tidak kasihankan kepada manusia bersendirian selamanya seperti saya?”. Buat masa ini pihak Anonymous masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan sama ada mereka akan sekali lagi menggodam laman sesawang milik kerajaan sebagai tanda protes.

Penafian #techtroll
TIPS & ULASAN