Perang antara pelayar web semestinya banyak menguntungkan para pengguna, dan kini Google telah pun mengumumkan yang mana mereka bakal mengintegrasikan fungsi Web Intents pada pelayar web kesayangan mereka, iaitu Google Chrome, sekaligus membawakan aplikasi web dijalankan seperti mana aplikasi desktop biasa.
Melalui Web Intents, ianya akan membolehkan aplikasi web berkomunikasi antara satu sama lain dengan mudah dan senang, sekaligus membawakan lebih banyak fungsi baru dan menarik padanya. Ianya juga akan membolehkan aplikasi yang berasaskan web berfungsi dan beroperasi dengan lebih menyeluruh, seperti sebuah aplikasi desktop.
Ianya juga mungkin secara tidak langsung akan menguntungkan pengguna Chrome OS dalam menjalankan aplikasi web.
Sebelum ini, Mozilla turut sama mengumumkan perkara yang lebih kurang sama, dengan nama panggilan Web Activities. Dengan lebih banyak aplikasi berasaskan web kini muncul, mungkin ianya sudah sampai masanya untuk membawa aplikasi web ke suatu tahap yang lebih tinggi. Sama-sama kita nantikan perkembangannya.