Seperti sedia maklum, sejak daripada malam semalam, berita mengenai permainan baru mula kedengaran daripada acara tahunan GamesCom yang sedang berlangsung. Melalui artikel khas ini, kami memperlihatkan beberapa berita menarik dari sana berkenaan dengan dunia permainan, serta pelancaran permainan baru tidak lama lagi.
Street Fighter X Tekken
Capcom telah pun melancarkan trailer permainan yang serba baru untuk permainan Street Fighter X Tekken, sekaligus memperlihatkan serba sebanyak kepermainannya, serta turut sama memperlihatkan empat watak baru pada permainan tersebut, iaitu Ibuki dan Hugo daripada Street Fighter dan juga Kuma dan Raven daripada Tekken.
FIFA Street
Pembangun permainan terkemuka, Electronic Arts turut sama telah mengumumkan permainan bolasepak terbaru daripada mereka, iaitu FIFA Street yang mana membawakan bentuk permainan yang menarik dan diminati ramai. Permainan terbaru ini membawakan cara kawalan bola baru yang lebih menarik, dan dijangka akan dilancarkan sekitar tahun hadapan untuk platform PlayStation 3 dan juga Xbox 360.
Pro Evolution Soccer 2012
Konami turut sama memperlihatkan permainan terbaru mereka, iaitu PES 2012, yang bakal dilancarkan tidak lama lagi. Demo permainan tersebut juga dijangka bakal dilepaskan seawal minggu hadapan untuk semua mencubanya terlebih dahulu. Menurut Konami, permainan PES 2012 akan diperkenalkan untuk PSP dan juga PS2 pada penghujung Oktober ini, dan diikuti dengan versi Wii pada awal November kelak.
Resident Evil : Revelations
Salah satu permainan terbaru daripada keluarga Resident Evil ini turut diperlihatkan kepada umum pada GamesCom 2011 yang sedang berlangsung kini. Maklumat berkenaan dengan tajuk baru daripada Resident Evil ini masih tidak diketahui sepenuhnya buat masa ini. Mungkin kami akan kemaskini dengan maklumat lanjut sebaik sahaja mengetahui mengenainya.
DOTA 2
Salah satu permainan yang turut dinantikan ramai adalah DOTA 2. Setelah sekian lama mendiamkan diri, kini beberapa info berkaitan kemaskini permainan popular, Defense of the Ancients ini kedengaran satu demi satu daripada pihak Valve.
Ghost Recon : Future Soldier
Bagi para peminat permainan berbentuk tembak-menembak, kini trailer permainan Ghost Recon turut sama diperlihatkan, yang mana menunjukkan sokongan multiplayer padanya. Ghost Recon : Future Soldier ini dijangka akan dilancarkan pada bulan Mac depan untuk PS3 dan juga Xbox 360.