Pada hari Khamis yang lepas, kami telah dijemput oleh pihak DiGi ke majlis pelancaran tiga telefon pintar baru bersama-sama oleh HTC Malaysia. Melaluinya, telefon pintar HTC Sensation, Cha Cha dan juga Evo 3D telah diperlihatkan dan pada masa yang sama, pakej DiGi untuknya telah dilancarkan.
Kami tahu dari pembacaan tweet dan komen blog ini yang kebanyakkan dari pembaca hanya teruja dengan HTC Evo 3D kerana ianya telefon 3D pertama daripada HTC yang boleh didapati di Malaysia. Kami sempat mencuba beberapa fungsi telefon ini pada malam tersebut.
Seperti diiklankan, HTC Evo 3D mampu mengambil gambar dan video dalam format tiga dimensi. Kamera 8 megapixel-nya mampu mengambil video 3D pada resolusi 720P. Ianya juga amat mudah untuk mengubah antara mod 2D dan 3D, dimana ianya hanya sekadar menolak tombok bersebelahan butang shutter kamera pada peranti tersebut.
Untuk tontonan video pula, apabila aplikasi Youtube dibuka, secara automatiknya video yang boleh ditonton dalam bentuk 3D diperlihatkan sebuah simbol kecil 3D di bahagiian tepinya. Selain daripada itu, apa yang menariknya adalah dimana para pengguna boleh menonton video dalam bentuk 3D tanpa sebarang aksesori tambahan seperti kaca mata dan sebagainya.
Namun begitu, amat mendukacitakan adalah kerana video 3D yang dirakam dan dipertontonkan agak memeningkan bila ditonton pada masa yang lama. Kesan 3D yang dihasilkan juga nampak agak aneh bila terdapat terlalu banyak pergerakan pada sesuatu babak yang diambil. Video Youtube dalam versi 3D pula tidak semenarik mana buat masa ini.
Ini membuatkan Evo 3D menjadi sebuah peranti gimik yang mungkin tidak akan kekal relevan, dan mungkin terlalu awal buat masa kini. Dua kanca kamera juga bakal mendatangkan masalah di masa hadapan kerana ianya terlalu besar. Kami yakin lama kelamaan kaca penutup salah satu kaca ini akan tercalar dan mengakibatkan anda tidak dapat mengambil video 3D dengan sempurna.
Dengan kata lain kanta kamera yang timbul dari belakang telefon ini akan mudah rosak sama seperti yang terdapat pada HTC HD7. Satu lagi perkara aneh ialah ketiga-tiga Evo 3D yang diperlihatkan pada malam khamis tersebut adalah kurang lancar berbanding peranti Android yang lain. Harapnya ini hanya berlaku pada unit demo dan bukan unit yang bakal terjual kelak.