Sebelum ini, kami pernah melaporkan yang mana Facebook sedang menguji salah satu fungsi baru pada penglihat imej mereka. Kini nampaknya, mereka telah bersedia, dan mula memperkenalkannya secara rasmi kepada semua pengguna secara berperingkat bermula daripada hari ini.
Melalui penglihat imej Facebook Photo yang baru, ianya memperlihatkan imej dengan saiz resolusi yang lebih besar, iaitu sehingga 960 pixel, serta membukanya dengan dua kali ganda lebih pantas, sekaligus membolehkan anda membuka gambar yang dimuat-naik pada Facebook dengan lebih pantas.
Pada masa yang sama, perubahan drastik yang diperlihatkan adalah termasuk latar belakangnya, yang mana kini menggunakan warna putih yang dipudarkan, dan bukannya warna hitam seperti sebelum ini. Fungsi baru ini dijangka akan diperkenalkan kepada semua pengguna secara berperingkat dalam masa beberapa hari lagi.
Selain itu, Facebook turut sama berkongsi salah satu statistik menarik, mengatakan dimana kini lebih 250 juta gambar dimuat-naik oleh pengguna mereka setiap hari.