Samsung Melancarkan Bada OS 2.0 – Peranti Wave Baru Bakal Menyusul

Samsung Melancarkan Bada OS 2.0 – Peranti Wave Baru Bakal Menyusul

Diterbitkan pada Ogos 28, 2011 oleh .

Selain daripada Android, seperti sedia maklum, Samsung juga turut sama mengeluarkan peranti mereka dengan menggunakan sistem operasi yang dibangunkan oleh mereka sendiri, iaitu BadaOS. Dan hari ini, Samsung telah pun melancarkan Bada 2.0, membawakan pelbagai fungsi baru pada sistem operasi tersebut.

Bagi yang kenali akan keluarga peranti Samsung Wave, ianya menggunakan sistem operasi Bada, dan kini dengan pelancaran Bada 2.0 hari ini, ianya turut sama mengikuti ura-ura sebelum ini, mengatakan Samsung bakal melancarkan keluarga baru Samsung Wave pada 1 September ini.

Melalui Bada 2.0, Samsung membawakan pelbagai kemaskini pada sistem operasi mudah-alih mereka, termasuk sokongan untuk multi-tasking, sokongan NFC, dan juga kebolehan untuk berkongsi fail menggunakan WiFi. Selain daripada itu, ianya turut membawakan sokongan penuh Flash dan juga HTML5.

Samsung turut mengatakan yang mana mereka akan terus bekerjasama bersama-sama Google melalui Android dan juga Microsoft melalui Windows Phone, selain pada masa yang sama turut memfokuskan kepada pembangunan sistem operasi mereka tersendiri itu. Buat masa ini. Samsung mempunyai lebih 40,000 aplikasi pada Samsung Apps Store.


TIPS & ULASAN