Setelah memperkenalkan BadaOS 2.0 sebelum ini, hari ini Samsung secara rasminya telah pun mengumumkan tiga peranti Bada mereka yang baru, yang mana bakal diperlihatkan kepada umum pada 1 September ini bersama-sama dengan peranti-peranti lain. Tiga peranti baru yang dilancarkan adalah Wave 3, Wave M dan juga Wave Y.
Wave 3 merupakan peranti utama yang bakal diperlihatkan, dimana membawakan cip pemprosesan 1.4GHz, skrin WVGA Super AMOLED seluas 4-inci, kamera 5-megapixel dibelakang dan kamera hadapan VGA, serta turut menyokong fungsi permesejan ChatOn yang diperkenalkan baru-baru ini oleh Samsung, serta menggunakan Bada 2.0 sebagai sistem operasinya.
Wave M pula merupakan peranti dengan spesifikasi sederhana, dimana turut sama membawakan kamera 5-megapixel dan juga kamera VGA hadapan, sokongan NFC secara pilihan, dan juga turut membawakan sistem operasi Bada 2.0 bersama-sama dengannya.
Wave Y pula ditujukan khas untuk para remaja, membawakan sistem operasi Bada 2.0, kamera 2-megapixel, dan juga sokongan-sokongan lain asas yang terdapat pada telefon pintar.
Ianya dijangka yang mana Samsung bakal mulakan jualannya sekitar bulan Oktober kelak, dan harganya masih tidak diketahui lagi buat masa ini. Mungkin lebih banyak maklumat berkaitan dengannya akan kedengaran pada IFA kelak pada minggu ini. Sama-sama kita nantikannya.