Salah satu perkara yang mungkin menjadi dilema para pemandu di Malaysia adalah saman di tempat meletak kenderaan. Namun begitu, melalui sebuah aplikasi baru yang bakal dilancarkan tidak lama lagi, iaitu Parking MATA, perkara ini mungkin dapat diatasi dengan mudah, hasil kerjasama bersama-sama dengan pemandu-pemandu yang lain.
Secara ringkasnya, melalui aplikasi tersebut, para pengguna boleh menjadi seorang pelapor sekiranya ternampak akan pihak berkuasa atau penjaga tempat meletak kenderaan di sesuatu lokasi, dimana ianya secara tidak langsung akan menghantar notifikasi kepada pengguna-pengguna yang lain berdekatan, dan membolehkan mereka mengelakkan daripada kenderaan mereka disaman dan sebagainya.
Namun begitu, salah satu perkara yang menjadi persoalan adalah bagaimanakah sekiranya ianya digunakan untuk perkara-perkara yang tidak baik dan sebagainya. Selain pada masa yang sama, ianya kelihatan seperti mengalakkan budaya yang tidak baik dikalangan pemandu tempatan. Walaubagaimanapun, semestinya kita tidak boleh membuat kesimpulan awal tanpa mencubanya terlebih dahulu.
Parking MATA dijangka akan dilancarkan esok untuk para pengguna Android, dan pada bulan Oktober untuk pengguna iPhone, dan diikuti pengguna Symbian pada bulan November.