Akhir-akhir ini, ianya kelihatan yang mana Nokia menekankan kepada teknologi NFC, dan kini, mereka bakal melancarkan perkhidmatan hub NFC mereka itu di Malaysia dan Singapura dalam masa beberapa minggu akan datang, yang mana akan membolehkan perniagaan dan organisasi menempah tag NFC melaluinya, dan membolehkan pengguna tempatan memaksimakan penggunaan NFC.
Baru-baru ini, Nokia telah pun melancarkan tiga peranti Symbian Belle dengan sokongan NFC, selain turut bakal melancarkan Nokia N9 pada minggu hadapan di Malaysia. Pada masa yang sama, BlackBerry turut memperkenalkan peranti dengan sokongan NFC baru-baru ini, selain Google yang menawarkannya melalui Nexus S dan sistem operasi Android.
Melalui penggunaan NFC, ianya akan membolehkan para pengguna mendapat pelbagai info dengan cepat, dengan hanya menyentuh peranti mereka pada tag NFC sahaja. Ianya juga turut sama boleh digunakan dalam pembayaran, seperti pada Google Wallet dan sebagainya.
Salah satu perkhidmatan di Malaysia yang menggunakan teknologi seumpamanya, adalah Touch-n-Go, dan sebelum ini, Maxis pernah mencubanya melalui perkhidmatan Fast Tap, namun seperti tidak aktif lagi sekarang ini.
Mungkin dengan pelancaran hub NFC di Malaysia, ianya turut sama akan mempromosikan dan memperluaskan penggunaan NFC di Malaysia dan negara-negara yang berdekatan. Sama-sama kita nantikan pelancarannya tidak lama lagi.