Artikel khas ini ditulis khas oleh Asri al-Baker, yang mana merupakan salah seorang pembangun aplikasi mudah-alih tempatan, selain mana turut sama mempunyai blog beliau sendiri iaitu Symbianku dan juga i-Symbian. Para pengguna boleh turut sama mengikuti beliau melalui Twitter di @asrialbaker. Ini merupakan bahagian pertama daripada artikel yang bakal dibahagikan kepada tiga bahagian.
Dewasa ini, agak sukar untuk tidak mengendahkan berita mengenai Nokia, gergasi telekomunikasi Finland yang sekarang dianggap sedang tenat. Ada sahaja berita negatif yang berlegar-legar mengenai Nokia. Persoalannya sekarang. Benarkah?
Semenjak kemunculan iPhone generasi pertama pada tahun 2007, yang kini terus memberi cabaran hebat kepada semua syarikat telekomunikasi tersohor dunia seperti Blackberry (yang kini masih lagi belum berani memberikan tentangan terus) serta Palm (yang telah pun menjadi sejarah, dibeli oleh HP), serta kehadiran si robot hijau Android yang terus mendominasi pasaran, antara pihak yang paling teruk menerima kesannya, ialah Nokia.
Nokia merupakan peneraju terunggul dalam dunia telefon pintar. Kehebatan Nokia agak payah untuk digoncang. Statistik pernah menunjukkan bahawa pada suku kedua tahun 2010, Nokia pernah menjual sehingga 300,000 unit telefon pintar Symbian setiap hari. Ini adalah satu jumlah yang besar untuk sebuah syarikat telefon.
Walaupun Nokia mencuba untuk merampas takhta peneraju telefon pintar kembali, setakat ini, cubaan yang dilakukan belum benar-benar berjaya. Ditambah pula dengan masalah dalaman Nokia sendiri yang merasa terlalu selesa dengan kedudukannya. Ini memburukkan lagi keadaan.
Semenjak tahun 2007, salah satu respon ataupun tindakbalas Nokia terhadap iPhone ialah Nokia N97 yang menjadi bahan gelak ketawa kerana ketidakstabilan dan ketidakmatangan sistem operasinya ketika dijual kepada umum. Nokia benar-benar terpukul dengan reaksi pengguna yang begitu vokal dan ramai yang terus meninggalkan Nokia, untuk beralih menggunakan jenama lain.
Yayasan Symbian
Kemudian, menyedari akan potensi membangunkan sistem operasi secara sumber terbuka, Nokia membeli kesemua saham dalam Symbian Ltd dengan harga hampir 500 juta Euro, membubarkan syarikat tersebut, dan menubuhkan Yayasan Symbian ataupun Symbian Foundation.
Symbian^3 – Satu-satunya produk yang sempat disiapkan oleh Yayasan Symbian
Walaubagaimanapun, usaha ini menemui jalan buntu apabila rakan-rakan strategik utama yang selama ini menyokong Symbian, iaitu Samsung dan Sony Ericsson, meninggalkan Yayasan Symbian untuk memberikan sepenuh perhatian kepada Android. Yayasan Symbian hanya wujud untuk dua tahun sahaja dari tahun 2008 hingga 2010. Dalam tempoh tersebut, Symbian^3 sempat disiapkan dan telah melakar sejarahnya yang tersendiri.
Awal 2011, Nokia mengumumkan bahawa mereka akan mengambilalih sistem operasi Symbian untuk terus dibangunkan dibawah kerjasama dengan Accenture Ltd. Sebuah konglomerat perisian tersohor dunia yang memiliki kepakaran dan pengalaman luas dalam menguruskan projek besar yang melibatkan pembangunan perisian.
“Tahukah anda? Ramai jurutera perisian Symbian yang berbakat dan berpengalaman, yang kini bekerja di Accenture. Mereka ini ada yang dahulunya merupakan pekerja-pekerja di syarikat Symbian Ltd. Antara nama besar dunia Symbian yang kini berada di Accenture ialah Encik David Wood. Beliau adalah antara arkitek sistem operasi Symbian antara yang terawal semenjak berada di Psion lagi.”
Ramai yang begitu emosi dan marah, terutamanya pengguna-pengguna tegar Symbian. Tidak kurang yang bertepuk tangan melahirkan rasa gembira kerana nampak gayanya, Symbian akan berkubur tanpa nisan tidak lama lagi. Benarkah?
Unjuran jualan unit telefon pintar oleh pengeluar utama pada suku kedua tahun 2011. Nokia masih lagi
di tempat teratas. Sumber oleh Gartner.
Kehadiran Stephen Elop pada penghujung tahun 2010, sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Nokia yang baru, menggantikan Oli Pekka Kallasvuo, sedikit sebanyak telah mendatangkan perasaan cemas kepada para peminat dan pengguna Nokia diseluruh dunia. Ini kerana, beliau merupakan orang kuat Microsoft sebelum itu.
Pelbagai khabar angin liar telah timbul seperti : Microsoft akan membeli Nokia, Microsoft akan mengambilalih semua bisnes Nokia berkaitan telekomunikasi, Stephen Elop adalah “Kuda Trojan” dan macam-macam lagi. Benarkah Stephen Elop memiliki sentuhan magis untuk membawa Nokia kembali ke puncak?
Ikuti kupasan seterusnya dalam siri yang akan datang mengenai jatuh bangunnya Nokia di dalam industri telekomunikasi… Akan bangkitkah Nokia?
Artikel khas ini ditulis khas oleh Asri al-Baker, yang mana merupakan salah seorang pembangun aplikasi mudah-alih tempatan, selain mana turut sama mempunyai blog beliau sendiri iaitu Symbianku dan juga i-Symbian. Para pengguna boleh turut sama mengikuti beliau melalui Twitter di @asrialbaker. Ini merupakan bahagian pertama daripada artikel yang bakal dibahagikan kepada tiga bahagian.