Cari @ Amanz

Hari ini, LG Electronics Malaysia secara rasminya telah pun melancarkan telefon pintar 3D mereka yang dinantikan sekian lama, iaitu LG Optimus 3D, yang mana menawarkan cip pemprosesan dwi-teras generasi kedua, dan juga didatangkan dengan sokongan penuh pengalaman 3D, termasuk rakaman dalam bentuk 3D melaluinya.

Melalui LG Optimus 3D, ianya turut membawakan skrin sentuh WVGA seluas 4.3-inci, memori terbina 8GB, memori 512MB RAM, dwi-kamera 5-megapixel dengan sokongan rakaman dalam bentuk 2D dan 3D, kamera hadapan VGA, dan juga didatangkan bersama-sama dengan Android 2.2 Froyo yang boleh dikemaskini kepada Gingerbread dengan mudah. Ianya turut menggunakan cip pemprosesan 1GHz ARM Cortex-A9 dengan PowerVR SGX540 GPU.

Dan menariknya, memandangkan kandungan 3D masih sedikit buat masa ini, LG Optimus 3D turut didatangkan dengan lebih 20 video 3D percuma, dimana 10 daripada video tersebut telah sedia didatangkan bersama telefon pintar tersebut, dan 10 lagi boleh dimuat-turun secara percuma melalui LG World. Pada masa yang sama, ianya turut didatangkan bersama-sama dengan 11 permainan 3D percuma.

LG Optimus 3D boleh didapatkan di Malaysia bermula hari ini melalui pengedar rasmi seluruh negara pada harga RM2199. Buat masa ini, ianya masih tidak diketahui samada adakah syarikat telekomunikasi tempatan akan menawarkannya ataupun tidak.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd