Setelah sekian lama tidak kedengaran mengenai Diaspora, kini pembangunnya sudah pun mula menghantarkan jemputan kepada para pengguna yang pernah mendaftar emel dengan mereka. Jemputan ini membolehkan mereka mencuba laman sosial terbaru itu sebelum ia dilancarkan secara rasmi kepada semua pengguna. Buat masa ini, laman ini masih dilabelkan sebagai Alpha, dan masih tidak diketahui bilakah ianya akan dilancarkan sepenuhnya.
Bagi yang tidak mengenali Diaspora, ia merupakan salah satu projek yang disokong oleh komuniti, yang menjanjikan lebih privasi dan kawalan ke atas data oleh para pengguna. Projek ini dimulakan pada tahun lepas, ketika Facebook menghadapi beberapa masalah apabila gagal untuk memuaskan hati pengguna dari segi kawalan privasi dan keselamatan.
Namun begitu, disebabkan ianya mengambil masa yang agak lama untuk dilancarkan, kini ianya kelihatan seperti laman mereka serba sebanyak menyerupai laman Google+ yang dilancarkan dalam beta tertutup oleh Google baru-baru ini.
Bagi yang berminat untuk mengujinya, mungkin boleh tinggalkan komen dibawah, dan kami akan cuba menjemput anda untuk menyertai laman sosial terbaru ini.
Tips awal daripada Arif Ishak