Windows 8 Diperlihatkan – Versi Pembangunan Boleh Dimuat-Turun Bermula 11 Pagi Ini

Windows 8 Diperlihatkan – Versi Pembangunan Boleh Dimuat-Turun Bermula 11 Pagi Ini

Diterbitkan pada Sep 14, 2011 oleh .

Seperti mana yang dinantikan, hari ini, secara rasminya Microsoft telah pun memperkenalkan sistem operasi generasi baru mereka kepada umum, membawakan antaramuka Metro yang serba baru, yang mana dioptimasikan sepenuhnya bukan sahaja untuk pengguna tablet, tetapi turut dioptimasikan untuk pengguna desktop.

Menurut Microsoft sendiri, ianya membawakan peningkatan yang drastik berbanding Windows 7 sebelum ini, dimana melalui sistem operasi generasi baru yang masih lagi dalam pembangunan, kini ianya hanya menggunakan memori sekitar 281MB sahaja.

Melalui Windows 8, ianya membolehkan para pengguna untuk menggunakan akaun Windows Live ID untuk log masuk ke desktop, dimana melaluinya, ianya secara automatik menarik gambar anda untuk dijadikan gambar profail desktop. Selain daripada itu, ianya turut membawakan sokongan luar-talian, sama seperti desktop Windows masa sekarang ini.

Seperti mana pernah diperlihatkan sebelum ini oleh Microsoft, Windows 8 menyertakan lebih 5 butang pautan pantas pada sebelah kanan desktop, iaitu butang Start, fungsi carian, fungsi perkongsian, tetapan dan juga halaman peranti. Pada masa yang sama, ianya turut memperlihatkan masa, tarikh dan beberapa perkara yang biasanya diperlihatkan di taskbar pada bahagian bawah.

Menariknya adalah fungsi carian pada Windows 8, yang mana membolehkan anda melihatnya dalam kategori masing-masing, sekaligus menjadikan carian berkenaan sesuatu perkara itu lebih jitu berbanding sebelum ini.

Kami masih lagi belum mencubanya secara rasmi dan akan mencubanya tidak lama lagi. Sementara itu, bagi yang berminat, anda boleh memuat-turun fail ISO Windows 8 Dev Preview secara rasmi bermula hari ini dalam variasi 32-bit dan juga 64-bit. Untuk memuat-turunnya, para pengguna hanya memerlukan Windows Live ID, dan sudah boleh memuat-turunnya dengan percuma bermula daripada 11 pagi esok (14 September 2011).


TIPS & ULASAN