Cari @ Amanz

Semua yang mengikuti perkembangan peranti terbaru daripada Nokia, iaitu Nokia N9 yang menggunakan MeeGo, semestinya mempunyai pelbagai pertanyaan mengenai peranti yang bakal mula dijual bermula daripada bulan Oktober kelak. Memandangkan ramai yang teruja mengenai peranti tersebut, kami sendiri telah membuka ruangan pertanyaan mengenai peranti tersebut melalui halaman Facebook Amanz Network, dan kini segala persoalan yang ditanya telah pun dijawab melalui artikel ini.

Apakah saiz kad SIM yang digunakan pada Nokia N9?
Nokia N9 menggunakan kad SIM mikro yang selalunua digunakan oleh peranti Apple seperti iPhone. Apabila kami bertanyakan mengenai penggunaan kad SIM mikro dan bukannya SIM biasa, pihak Nokia mengatakan ianya digunakan supaya dapat mengurangkan ketebalan peranti Nokia N9 itu sendiri. Ikhlas kami katakan jawapan ini adalah kurang munasabah kerana telefon bimbit Samsung dan Sony Ericsson yang terkini masih menggunakan kad-SIM biasa tetapi masih lebih nipis dari Nokia N9.

Bolehkah aplikasi Symbian digunakan pada Nokia N9?
Tidak. Symbian dan Meego adalah dua sistem operasi yang berbeza. Sungguh pun begitu, aplikasi Symbian dan MeeGo kedua-duanya menggunakan kerangka kerja Qt. Ini bermakna pembangun aplikasi dari platform Symbian boleh menghasilkan aplikasi untuk platform MeeGo dengan mudah.

Apakah pilihan warna peranti yang ditawarkan untuk Nokia N9?
Untuk model 16 GB terdapat 3 pilihan warna iaitu Magenta, Cyan dan Hitam. Untuk model 64GB pula hanya model bewarna hitam dihasilkan. Pihak Nokia ketika ini tiada perancangan untuk menambah pilihan warna untuk kedua-dua model ini tetapi kami difahamkan mereka sedia mendengar maklum balas pengguna Nokia berkenaan isu warna ini. Tetapi anda tidak perlu risau kerana sudah terdapat beberapa gambar casing untuk Nokia N9 dalam pelbagai warna. Casing yang nipis ini mampu memberikan anda pilihan warna yang tidak diberikan oleh Nokia.

TERKINI : Nokia menunjukkan video proses mereka N9 semalam dan didalam video tersebut N9 bewarna putih dan hijau dapat dilihat. Adakah ini bermakna Nokia bakal mengeluarkan N9 dalam dua pilihan warna ini?

Adakah kamera N9 lebih baik dari N8?
Tidak. Nokia N9 menggunakan CMOS sebesar 8-megapixel sementara N8 menggunakan CMOS sebesar 12 megapixel. Nokia N8 masih bertakhta sebagai raja imejan telefon bimbit dunia. Sungguhpun begitu Nokia N9 mampu mengambil gambar dengan lebih pantas tanpa mengorbankan kemampuan mengambil gambar pada kualiti yang tinggi.

Saya membaca spesifikasi N9 dan mendapati telefon ini tidak mempunyai kamera hadapan. Tetapi pada gambar N9 saya boleh melihat lubang kamera dihadapan. Ada atau tidak kamera hadapan pada N9?
Nokia N9 dilengkapi dengan kamera hadapan tetapi ianya tidak diaktifkan untuk masa kini dan hanya akan diaktifkan di masa hadapan. Mengapa Nokia mengambil langkah aneh ini? Kami pun tidak tahu tetapi ini bukan kali pertama langkah sebegini diambil. Nokia C7 sebagai contoh mempunyai chip NFC terbina dalam sejak dijual beberapa bulan lalu tetapi sokongan NFC tidak terdapat pada Symbian^3 . Cip NFC didalam Nokia C7 hanya akan berfungsi selepas ianya dikemaskini kepada Symbian Anna tempohari.

Antara ciri istimewa N9 yang digembar-gemburkan Nokia ialah kemampuan NFC-nya. Apakah itu NFC?
NFC ialah Komunikasi Lapangan Berhampiran. Dua peranti yang mempunyai sokongan NFC boleh berkongsi fail hanya dengan bersentuhan. Kita sedia maklum berkongsi fail menggunakan Bluetooth agak leceh dan kerap kali peranti rakan tidak dapat dikesan. Dengan NFC masalah pairing dapat dielakkan. Selain itu NFC juga memudahkan pairing antara telefon dan peranti lain seperti pembesar suara atau fon kepala.

Saya difahamkan terdapat shorcut untuk 4 aplikasi utama N9. Bolehkan shortcut ini diubah mengikut kehendak pengguna?
Tidak. Empat shortcut yang terdapat pada N9 pada ketika ini masih belum diubah mengikut kehendak pengguna. Empat shortcut yang ada sekarang ialah untuk telefon, sms, kamera dan pelayar internet. Menurut Nokia, ianya telah dioptimasikan sepenuhnya mengikut penggunaan dan permintaan para pengguna.

Kini Nokia N9 sudah di pasaran adakah Nokia bakal menurunkan harga telefon keluaran lama mereka seperti N8?
Nokia masih tudak mempunyai sebarang perancangan untuk mengurangkan harga peranti-peranti lama mereka seperti Nokia N8 dan sebagainya buat masa sekarang ini.

Nokia N9 akan mula dijual pada bulan Oktober ini pada harga bermula RM1799 untuk versi 16GB dan RM2088 untuk versi 64GB. Ianya juga dijangka akan ditawarkan oleh syarikat-syarikat telekomunikasi tempatan bersama-sama dengan pelbagai pakej dan pelan menarik.

Kredit kepada Mr Piratz untuk tips Nokia N9 dengan warna selain 3 yang asal serta  Zerokbom  untuk pembetulan ralat NFC

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd