Ulasan : Windows 8 Developer Preview

Ulasan : Windows 8 Developer Preview

Diterbitkan pada Sep 17, 2011 oleh .

Dasawarsa ini sama ada kita sedar ataupun tidak pembangunan dunia pengkomputeran kian gah dipersada dunia dan menjadi isu yang mendapat tempat dalam kehidupan kita. Seperti yang sedia maklum, Windows 8 Developer Preview yang telah dilancarkan oleh Microsoft baru-baru ini telah menyuntik segenap masyarakat dunia untuk mencuba sistem operasi terbaru itu.

Menurut perangkaan stastistik yang dikeluarkan oleh Microsoft, lebih 500,000 muat turun Windows 8 Developer Preview telah dibuat sekaligus menunjukkan ramai yang ternanti-nanti perkembangan mengenai sistem operasi Windows 8. Pada artikel kali ini, kami akan menerangkan beberapa fungsi dan perubahan yang terbaru pada Windows 8 Developer Preview.

Windows 8 Boot Screen

Windows 8 Developer Preview telah didatangkan dengan boot screen yang baru, yang mana padanya terdapat perkataan “Windows Developer Preview” serta titik bulatan beranimasi yang sangat menarik. Pada akhir sesi boot, paparan tersebut akan hilang dengan fade effect yang pasti memukau perhatian buat kali pertama melihatnya.

Windows 8 Boot Loader

Pada versi Windows sebelumnya, paparan ‘dual boot’ biasanya akan terpapar sebelum mana-mana Windows menjalankan sesi pengebootan tetapi tidak pada Windows 8. Microsoft telah menetapkan paparan ‘dual boot’ akan kelihatan selepas Windows 8 Boot Screen. Ini bermakna, proses pengebootan Windows 8 akan dijalankan terlebih dahulu dan selepas itu, paparan dual boot yang simplistik ini muncul untuk memberi kemudahan kepada pengguna untuk memilih sistem operasi keperluan mereka pada masa itu.

Paparan Windows 8 Logon dan Welcome Screen

Paparan Login Screen telah diperbaharui dengan rekaan yang ringkas dan kemas. Padanya terpapar avatar pengguna bersama nama pengguna dan kata laluannya, jika ditetapkan sekali.

Windows 8 Start Screen

Selepas proses login, pengguna akan dibawa ke Start Screen yang menempatkan pelbagai tile aplikasi yang antaranya berasaskan teknologi HTML5. Menariknya, aplikasi yang berasaskan teknologi ini memudahkan pengguna mengakses sesuatu informasi tanpa perlu membuka dan melayari internet dengan menggunakan pelayar web. Terdapat juga tile untuk program yang biasa dilihat pada desktop tradisional Windows seperti Windows Explorer, Internet Explorer, Desktop, Control Panel, dan lain-lain.

Pelayar Web Internet Explorer Pada Windows 8

Windows 8 telah tampil dengan pelayar web Internet Explorer 10 yang serba baharu. Menariknya, ia tampil dalam dua versi, satu versi Desktop Internet Explorer 10 dan satu lagi Internet Explorer 10 dengan antaramuka metro. Desktop Internet Explorer 10 masih lagi meneruskan pelayaran web yang pantas dengan sokongan plug-in dan extension. Manakala untuk Internet Explorer 10 dengan antaramuka metro merupakan pelayar bebas plug-in untuk menjamin kestabilan penggunaan.


Internet Explorer 10 – Mod Tablet


Internet Explorer 10 – Mod Desktop

Windows 8 Desktop

Windows 8 juga didatangkan dengan paparan Desktop yang pengalamannya hampir sama seperti menggunakan sistem operasi Windows 7. Pengguna boleh mengaksesnya dengan membuat klik pada tile Desktop di Start Screen. Melalui fungsi ini, pengguna masih lagi dapat mengakses Desktop seperti mana mereka gunakan pada versi Windows yang sebelumnya.

Pada edisi Windows 8 Developer Preview, Microsoft telah menyahaktifkan Start Menu tradisional untuk memberi galakan kepada pembangun agar menguasai Start Screen dengan semaksimum mungkin. Jika pengguna membawa cursor dan menekan pada butang Start yang ada, ia akan membawa pengguna ke Start Screen semula. Jika diheret ke butang tersebut tanpa menekannya, panel Start Screen akan terpapar dan membenarkan pengguna untuk mengubah Setting, membuat carian, dan lain-lain lagi.

Windows 8 Explorer

Paparan Windows 8 Explorer mempunyai sedikit kesamaan seperti Windows Explorer pada Windows 7. Microsoft telah menambah butang “Up” yang pernah menjadi alatan berguna pada versi Windows suatu ketika dahulu bersama Ribbon UI yang terdapat pada Office 2010 untuk memudahkan pengguna mengakses pelbagai tugasan sistem. Apa yang membezakan lagi, nama program kini bukan lagi berada di sebelah kiri tetapi telah dialihkan ke bahagian tengah titlebar.

Jika tidak berminat dengan Ribbon UI, pengguna masih lagi boleh membuat pilihan untuk hide Ribbon UI tersebut pada bila-bila masa sahaja dengan membuat right-click pada bahagian atas Ribbon UI dan klik minimize the ribbon. Pengguna juga boleh meletakkan Quick Access toolbar pada bahagian bawah Ribbon UI untuk digunakan sebagai standard toolbar.

Windows 8 Explorer juga didatangkan dengan paparan pengurusan file yang baru. Kotak dialog copy atau move telah diperbaharui dengan antaramuka yang kemas dan jitu.

Tema Aero Lite Untuk Komputer Bersistem Rendah

Tema Windows Basic telah jayanya digunakan pada Windows Vista dan Windows 7. Pada Windows 8 pula, Microsoft telah menukarkannya kepada tema yang lebih ringkas dan menarik lagi berasaskan antaramuka Metro UI. Tema yang telah diberi nama sebagai Aero Lite ini memberi sokongan tema bergrafik bagi komputer yang tidak menyokong antaramuka Aero.

Fungsi Aero Auto Colorization

Windows 8 telah didatangkan dengan fungsi Aero Auto Colorization, memudahkan pengguna dalam menetapkan warna tema Windows mereka. Melalui fungsi ini, warna tema akan ditetapkan secara automatik berdasarkan warna utama wallpaper yang pengguna aktifkan.

Windows Task Manager

Salah satu perubahan drastik yang dapat dilihat pada Windows kali ini, Windows 8 hadir dengan Task Manager yang telah diubah suai dan diperbaharui. Task Manager yang diperbaharui ini memberi kepada pengguna dengan fungsi yang lebih ‘advance’ lagi di samping mengoptimasikan penggunaan tab pada fungsi tersebut.

Windows 8 Lock Screen

Pada versi Windows yang sebelumnya, Login Screen dan Lock Screen menggunakan paparan yang serupa. Namun begitu, pada Windows 8, lock screen telah berevolusi kepada paparan lock screen yang biasa dilihat pada telefon pintar Windows Phone 7. Paparan lock screen pada Windows 8 memaparkan waktu serta notification yang berlatar belakangkan wallpaper yang boleh ditetapkan oleh pengguna.

Untuk keluar daripada lock screen, pengguna perlu mengheretkan lock screen tersebut ke atas dan Windows akan membawa pengguna ke tempat sebelum lock screen diaktifkan seperti Desktop atau Start Screen semula. Ternyata sangat elegan.

Windows 8 Control Panel

Windows 8 telah didatangkan dengan dua Control Panel pada mode yang berbeza. Satu Control Panel Desktop dan satu lagi Control Panel dari Start Screen. Apa yang ingin diketengahkan, paparan Control Panel yang diakses dari Start Screen ternyata memberi kelainan ketika mengaksesnya. Segala tetapan telah disatukan dalam antaramuka Metro UI yang ringkas, kemas, dan elegan.

Windows 8 Recovery

Satu lagi perkara yang menarik mengenai Windows 8 Developer Preview, ia telah didatangkan dengan satu fungsi “Recovery” yang mana membolehkan pengguna untuk Refresh atau Reset komputer mereka.

Refresh PC – merupakan satu tetapan untuk reload Windows 8 tanpa kehilangan file pengguna, gambar, video, muzik, dan lain-lain. Ia diibaratkan seperti memasang semula Windows tetapi prestasinya ternyata lebih baik disamping tidak perlu risau akan kehilangan segala dokumen penting.

Reset PC – suatu tetapan untuk meletakkan komputer kepada keadaan seperti yang asal. Akan tetapi, harus berhati-hati kerana ia akan memadamkan kesemua file pengguna. Ia akan menjadi berguna apabila pengguna perlu membersihkan cakera keras akibat daripada jangkitan virus.

Fungsi File History Windows 8

Windows 8 telah didatangkan dengan satu fungsi baru yang diberi nama “File History”. Fungsi ini akan menyimpan salinan data yang telah ditandakan, bermakna pengguna boleh restore data tersebut jika ia hilang mahupun rosak. Fungsi ini boleh diakses melalui Control Panel.

Windows 8 Blue Screen of Death

Suatu perkara yang tidak asing lagi bagi pengguna Windows ialah Blue Screen of Death atau nama singkatannya BSOD. Kebiasaannya, paparan BSOD akan terpapar sekiranya Windows mengalami ralat untuk beroperasi dengan baik. Apa yang menarik, paparan BSOD kini telah digantikan dengan paparan yang lebih menarik untuk mengurangkan tahap kepanikan pengguna Windows apabila berhadapan dengan BSOD.

Ulasan penuh ditulis oleh Muhammad Arib. Ikuti beliau di Twitter atau pun baca blog beliau untuk pelbagai perkara menarik yang lain.

TIPS & ULASAN