Nampaknya, setelah sekian lama, akhirnya kini Google telah pun bersedia untuk melancarkan perkhidmatan pembayaran melalui NFC mereka, iaitu Google Wallet. Walaubagaimanapun, pelancarannya mungkin terhad, dan buat masa pengenalan ini, akan lebih menumpukan kepada pengguna di Amerika Syarikat serta bilangan peranti yang menyokongnya sangat-sangat sedikit.
Melalui sokongan NFC, para pengguna hanya perlu menyentuh peranti dengan sokongan NFC mereka pada pelekat-pelekat NFC, dan melakukan pembayaran dengan mudah. Selain daripada Nexus S, perkhidmatan ini juga dijangka akan dipopularkan melalui peranti-peranti baru Ice Cream Sandwich yang bakal mula dikeluarkan bermula bulan hadapan. Google juga dijangka akan memperkenalkan API untuk membolehkan para pembangun membangunkan sokongan untuknya.
Buat masa ini, NFC seperti sedang meningkat naik popularitinya, dengan Nokia bakal memperkenalkan hub NFC mereka di Malaysia, serta mula mempromosikannya secara lebih meluas melalui peranti Symbian Belle dan juga Nokia N9 mereka. Berbeza dengan di Amerika Syarikat, mungkin kita akan dapat melihat Nokia terlebih dahulu mempopularkannya di sini berbanding Google yang mungkin mengambil sedikit masa lagi. Namun apa pun, sama-sama kita nantikan perkembangan NFC di Malaysia.