Jangan Memandang Rendah Kemampuan Nokia (Bahagian Kedua)

Jangan Memandang Rendah Kemampuan Nokia (Bahagian Kedua)

Diterbitkan pada Sep 19, 2011 oleh .

Artikel khas ini ditulis khas oleh Asri al-Baker, yang mana merupakan salah seorang pembangun aplikasi mudah-alih tempatan, selain mana turut sama mempunyai blog beliau sendiri iaitu Symbianku dan juga i-Symbian. Para pengguna boleh turut sama mengikuti beliau melalui Twitter di @asrialbaker. Ini merupakan bahagian kedua daripada artikel yang bakal dibahagikan kepada tiga bahagian. Baca bahagian pertama sebelum ini.

Menjelajahi Wilayah Sumber Terbuka Linux

Lama sebelum Google mengumumkan keinginannya untuk memasuki pasaran telekomunikasi mudah alih dengan menggunakan variasi Linux yang dipanggil Android, wawasan dan pandangan jauh para jurutera di Nokia telah menghasilkan sebuah sistem operasi berasaskan Linux yang dikenali sebagai Maemo.

Ketika itu, ramai yang kurang percaya bahawa sistem operasi sumber terbuka Linux bakal menjadi sesuatu yang besar dalam dunia telekomunikasi mudah alih. Tetapi Nokia tetap meneruskan projek yang mulanya dikenali sebagai “Hildon” itu. Tahun 2005
menyaksikan projek tersebut berjaya mengeluarkan sebuah peranti internet mudah alih, Nokia Internet Tablet yang diberi nama Nokia 770.


Nokia 770 – Tablet Internet Maemo Dari Nokia Yang Pertama

Menyedari akan kegilaan komuniti sumber terbuka terhadap kerja-kerja pengubahsuaian dan pembangunan perisian, Nokia menyokong inisiatif ini hinggalah beberapa buah peranti Internet Tablet seterusnya dikeluarkan seperti Nokia N800 dan N810. Kemuncaknya, pada tahun 2009, Nokia mengumumkan N900 yang menggunapakai sistem operasi Maemo generasi kelima atau “Maemo 5 Fremantle” yang amat berlainan daripada apa yang pernah Nokia lakukan sebelum itu. Contohnya, pelayar internet didalam N900 yang dikenali sebagai Micro-B yang dibangunkan berasaskan Mozilla, adalah sebuah pelayar internet mudah alih yang benar-benar hebat dan memiliki kemampuan setanding pelayar internet untuk komputer meja. Sehingga kini (2011), belum ada pelayar internet mudah alih lain daripada mana-mana pihak yang dapat menandingi kemampuan Micro-B.

Disebalik kemegahan dan semangat tolong menolong komuniti sumber terbuka yang cuba disemaikan dalam pembangunan sistem operasi Maemo, ada satu perkara yang Nokia tidak dapat atasi.


Nokia N900 – Kemuncak Perkomputeran Maemo

Maemo 5 terlalu jauh kehadapan dan kurang mendapat sambutan daripada pengguna biasa yang merupakan lebih sembilan puluh peratus dari keseluruhan pengguna Nokia. Jualan N900 tidak seperti yang diharapkan. Ia terlalu canggih dan terlalu komplikated bagi kebanyakan orang biasa.

Walaupun N900 tidak menerima sambutan seperti yang diharapkan di dalam pasaran, komuniti sumber terbuka amat menyukainya. Pelbagai projek sumber terbuka yang menyemarakkan lagi ekosistem Maemo 5 telah dicetuskan. Tetapi, ekosistem tersebut amat kecil dan tidak memberikan impak yang diharapkan. Terlalu sedikit jumlah pembangun yang berjaya mengkomersilkan perisian mereka. Keadaan ekosistem Maemo yang seperti “Hidup segan mati tak mahu”, menyulitkan dan merumitkan lagi strategi Nokia untuk memberikan saingan kepada iOS dan Android yang berkembang pantas ketika itu. Tanpa sebuah ekosistem yang mampan dan berdayasaing, Maemo tidak akan kemana…

Sesuatu perlu dilakukan bagi menampung kerugian Nokia. Sebagai sebuah syarikat korporat yang berpaksikan keuntungan, sesuatu perlu dilakukan terhadap pelaburan wang ringgit dan tenaga manusia yang dibuat terhadap Maemo.

Pada awal tahun 2010, Nokia akur dengan kehendak pasaran dan menggubal strategi baru. Projek Maemo akan digabungkan dengan satu lagi projek sumber terbuka bernama Moblin untuk melahirkan MeeGo. Moblin pada asalnya adalah sebuah projek sumber terbuka yang digagaskan oleh Intel, syarikat pembuat mikrochip terkemuka dunia. Gabungan Nokia dan Intel, membawa satu gagasan yang cukup hebat dan jika berjaya, mampu menggegarkan dunia industri telekomunikasi mudah alih.

Perkongsian ini penting bagi merintis jalan untuk kerja-kerja penyelidikan, pembangunan, dan seterusnya pengeluaran sebuah sistem operasi pintar mudah alih masa hadapan yang boleh digunakan oleh semua pihak untuk pelbagai peranti.

MeeGo dibangunkan untuk memenuhi kehendak pasaran masa hadapan dalam industri permotoran dan automatif, peruncitan, penyiaran, perkapalan, dan sebagainya, dan semestinya industri telekomunikasi mudah alih. MeeGo dibangunkan bukan untuk telefon pintar sahaja. Ia lebih daripada itu.

Perkongsian ini juga memberi peluang kepada pihak-pihak yang berminat untuk menyumbang dalam bentuk kewangan, kepakaran, teknologi, dan sebagainya. Ini bermakna, untuk MeeGo berjaya, kerjasama semua pihak adalah penting.

Nokia melihat MeeGo sebagai satu kelebihan untuknya bersaing dan berkongsi kos pembangunan yang semakin meningkat. MeeGo dilihat sebagai penyelamat untuk masa depan Nokia. Persoalannya, mampukah?

Qt (disebut “kiut”)

Pelbagai usaha telah dijalankan oleh Nokia untuk menarik pihak-pihak lain kearah MeeGo. Salah satunya adalah untuk menarik para pembangun perisian dari komuniti sumber terbuka. Dengan berbekalkan kerangka pembangunan perisian teknologi Qt, Nokia terus mengorak langkah.

Teknologi Qt adalah sebuah kerangka pembangunan perisian yang dimiliki oleh Nokia setelah Nokia membeli syarikat yang membangunkannya iaitu Trolltech, pada tahun 2008. Dengan Qt, pembangunan sesebuah perisian menjadi lebih mudah. Nokia
melabur sejumlah wang yang besar untuk Qt dan kini, Nokia merupakan penyumbang utama terhadap pembangunan kerangka Qt.

Nokia menggalakkan pembangunan perisian mudah alih menggunakan Qt kerana teknologi ini juga dibangunkan untuk menjadi kerangka utama pembangunan perisian kepada Symbian dan MeeGo.

Serampang dua mata ini, sememangnya memiliki potensi masa depan yang amat menarik. Bayangkan, sekiranya anda seorang pembangun perisian mudah alih, anda boleh membangunkan perisian anda menggunakan Qt dan ia boleh disasarkan untuk dipasang pada telefon pintar Symbian dan juga peranti-peranti MeeGo. Anda hanya perlu mengubah beberapa baris kod sumber untuk membolehkan perisian anda dipasang dengan mudah pada peranti Symbian dan MeeGo.

Walaupun begitu, proses pengintegrasian kerangka Qt kedalam teras sistem operasi Symbian dan MeeGo bukanlah mudah. Ia memakan masa, dan memerlukan perancangan yang teliti. Inilah yang menjadi kerisauan kepada Nokia.

Tahukah anda?

Qt bukan untuk pembangunan perisian mudah alih sahaja. Teknologi kerangan pembangunan Qt telah wujud lebih 15 tahun. Ia mula diperkenalkan pada tahun 1992 iaitu 19 tahun lepas. Banyak pihak yang telah menggunakan Qt untuk membina perisian mereka secara besar-besaran. Antara perisian-perisian desktop yang menggunakan Qt ialah : VLC, Google Earth, AutoDesk Maya dan Skype. Malah, sistem operasi KDE turut dibangunkan menggunakan Qt sepenuhnya.

Persaingan memberikan tekanan

Tidak dapat tidak, Nokia perlu mencari jalan untuk mempercepatkan segala proses pembangunan sistem operasi yang menjadi nadi kepada perniagaan divisyen Peranti dan Perkhidmatannya (Devices and Services Division). Ini kerana, tentangan hebat dari “Syarikat Buah” dan “Si Robot Hijau” semakin sengit serta mula menampakkan kesan. Banyak petunjuk pasaran yang memberikan isyarat bahawa pegangan pasaran Nokia semakin mengecil.

Sesuatu perubahan drastik perlu dilakukan. Sesuatu perubahan menyeluruh yang akan menentukan hidup mati Nokia perlu dilaksanakan. Ini bukan main-main.

Ditambah lagi, apabila melihat keadaan pasaran global, boleh dikatakan pada ketika ini, Nokia dan Samsung adalah pengeluar telefon zaman lama yang masih memegang pasaran dengan peratusan yang signifikan. Pesaing-pesaing tradisi Nokia seperti Motorola, Sony Ericsson, Siemens, dan lain-lain, kebanyakannya dilanda masalah.

Nokia kini menghadapi persaingan sengit dari pengeluar telefon pintar zaman baru seperti Apple, HTC, ZTE, Blackberry, dan sebagainya, yang telah mengubah landskap industri telekomunikasi untuk selamanya.

Artikel khas ini ditulis khas oleh Asri al-Baker, yang mana merupakan salah seorang pembangun aplikasi mudah-alih tempatan, selain mana turut sama mempunyai blog beliau sendiri iaitu Symbianku dan juga i-Symbian. Para pengguna boleh turut sama mengikuti beliau melalui Twitter di @asrialbaker. Ini merupakan bahagian kedua daripada artikel yang bakal dibahagikan kepada tiga bahagian. Baca bahagian pertama sebelum ini.


TIPS & ULASAN