Mungkin berita mengenai Opera agak kurang akhir-akhir ini. Namun begitu, nampaknya seperti mereka sedang merancang sesuatu yang besar, dimana hari ini, Opera Software telah pun mengumumkan yang mana mereka telah mengambil-alih salah satu platform kedai aplikasi mudah-alih terkemuka, iaitu Handster Inc.
Handster buat masa ini menyokong pelbagai platform, termasuk Android, Java, Symbian, Windows Mobile, BlackBerry dan juga beberapa aplikasi yang ditumpukan khas untuk netbook dan juga tablet. Dengan pengambil-alihan ini, mungkin kita akan dapat melihat ianya diintegrasikan bersama-sama dengan Opera Mobile Store yang diperkenalkan oleh Opera Software pada bulan Mac yang lepas.
Menurut Opera lagi, kini mereka dalam evolusi daripada syarikat pelayar web kepada sebuah syarikat yang menyediakan pelbagai perkhidmatan mudah-alih, dan semestinya dengan pengambil-alihan Handster Inc ini, ianya akan membolehkan mereka terus memperluaskan perkhidmatan yang ditawarkan oleh mereka.