Secara ringkasnya, memandangkan ini merupakan slot pertama #Kreatiview, kami secara ringkasnya membuat pengenalan sebelum meneruskan temuramah bersama saudara Muid Latif. Melalui slot #Kreatiview ini, kami akan memilih salah seorang individu yang menyumbang dan bekerja pada industri kreatif negara, termasuk pengaturcara, perekabentuk dan sebagainya, dan membuat temuramah ringkas bersama-sama dengan mereka. Setiap hari Rabu, kami akan menyediakan satu tokoh dan individu khas untuk segmen ini.
Dan untuk minggu ini, saudara Muid Latif bersama kami menjawab sedikit pertanyaan daripada Kreative.my.
1. Beritahu sedikit mengenai diri anda dan apa yang anda buat:
Saya seorang pengkarya seni digital, grafik dan multimedia yang mula menapakkan diri di ruang maya sejak 1997. Berasal dari Pulau Pinang dan menetap di Kuala Lumpur, saya amat meminati ciptaan seni digital dan rekaan grafik. Awalnya, saya menggunakan Notepad untuk membina laman web dan kini menggunakan aplikasi yang amat penting sebagai pereka dan pengaturcara media baru iaitu Adobe Design Premium CS5.5. Ia amat menyeronokkan dan minat ini menjadikan sebuah karier sehingga ke hari ini. Anda boleh mengunjungi laman web saya di http://be.net/muidlatif, www.moedlatif.com, atau LIKE ”Muid Latif’ dan ikuti twitter @rekagrafik
2. Beritahu kami mengenai portfolio anda yang dibanggakan:
Selain membina laman web Puteri Gunung Ledang The Musical III dan projek multimedia Angkasawan dengan kerjasama dua pengaturcara flash berbakat; Hatta & Musa, saya turut berbesar hati menjayakan Festival Seni KLCC 2010, anjuran Galeri Petronas dan Dewan Filharmonik Orkestra dengan membuat Persembahan Seni Digital secara langsung dengan gabungan pemuzik-pemuzik Orkestra DFP. Ia amat mencabar dan sangat menyeronokkan, dan menjadikan saya sebagai pengkarya seni digital pertama untuk membuat persembahan secara langsung dengan orkestra yang terulung di khayalak ramai.
3. Kongsikan pengalaman anda yang paling menarik didalam industri ini.
Membina laman web untuk seorang produser berbakat dari Amerika Syarikat, iaitu penyanyi dari kumpulan Pop R&B 98 Degrees, Jeff Timmons yang dinominasikan secara berkumpulan di dalam Anugerah Grammy 2000.
Pengalaman berkerja bersama beliau membuka ruang kreatif saya untuk terus menjuangkan semangat kreatif yang ada untuk memberi inspirasi kepada semua. Saya juga amat gembira kerana dipilih menjadi duta kepada rangkaian sosial kreatif antarabangsa yang terkemuka, Behance Network, dan juga sebagai ‘Adobe Influence’, yang berperanan untuk memperluaskan penggunaan aplikasi Adobe untuk membina kandungan kreatif yang unik untuk percetakkan, media baru dan applikasi mobil.
4. Pendapat anda mengenai industri ini di Malaysia:
Malaysia mempunyai ruang potensi yang amat cerah sekiranya kita sendiri, sebagai individu yang dapat mendisiplinkan diri untuk menjadi ahli peniaga kreatif yang berjaya untuk masa long-term, bukan sekadar membuat perniagaan yang hanya bertahan setahun-dua.
Kita tidak boleh mengamalkan sikap ‘perlu disuap’ untuk mendapat sesuatu projek, dan berharap orang akan memberi sesuatu projek tanpa usaha dan bekerja keras untuk memajukan diri untuk menaikkan taraf ekonomi kreatif negara. Kita perlu peka akan apa-apa projek yang terdapat, sebarang tender yang dikeluarkan oleh kerajaan dan juga dari institusi persendirian.
Pelbagai inisiatif dari badan-badan organisasi dan juga kerajaan yang menyediakan gran, pinjaman kewangan dan ruang untuk kita membina kandungan kreatif di alaf baru ini. Saya cuma terkilan dengan budaya masyarakat Malaysia yang suka endah atau tidak ambil tahu akan aktiviti-aktiviti berbentuk kreatif kerana banyak yang masih duduk mendiamkan diri dan mengharap rezeki itu datang tanpa usaha.
Kita sudah ada seniman-seniman dan pereka yang berbakat yang sudah memecahkan tradisi dengan diiktiraf dunia kreatif sehingga ke Hollywood seperti Dato’ Bernard Chandran, Dato’ Jimmy Choo, Dato’ Lat, malah pelukis-pelukis komik seperti Milx, Tan Eng Huat, Chee, Aadi Salman, Mohammad Yazid dan lain lain. Sekiranya kita kolot dengan pemikiran prajudis dan sentiasa menuding jari, kita takkan pergi jauh sepertimana negara-negara membangun seperti Singapura, Thailand, Korea dan yang lain yang mementingkan perkembagan ekonomi kreatif.
5. Akhir sekali, harapan anda terhadap industri kreatif pada masa akan datang:
Moga lebih banyak peluang terbuka bagi mereka yang ingin menceburkan diri. Jangan ada dengki antara satu sama lain, jangan tutup rezeki dan periuk nasi orang lain, jangan mudah terpengaruh dengan hasutan tidak logik dan berasas, sentiasa menyokong antara individu-individu kreatif mahupun secara berkumpulan dan saling berkerjasama agar persekitaran dunia kreatif menjadi lebih sihat dan positif.