
Pada minggu ini, Kreative.my telah menemuramah Rames Studio, seorang yang pakar dalam arena memanipulasi gambar. Tanpa berlengah lagi, mari kita ketahui 5 perkara mengenai diri beliau.
1. Beritahu sedikit mengenai diri anda dan apa yang anda buat:
Saya berasal dari Kuala Lumpur, Malaysia. Sekarang sedang bekerja sebagai Pengarah Seni di Astro All Asia Broadcast Centre sejak tahun 2006. Tahun ini merupakan tahun kelima saya bersama mereka dan ianya telah menjadi satu pengembaraan yang menakjubkan. Pengkhususan saya adalam dalam bidang rekaan web dan juga manipulasi gambar. Sehingga kini, saya telah menghasilkan lebih 100 karya termasuk karya ‘vector’ dan manipulasi gambar. Bidang fotografi juga merupakan salah satu minat saya. Tidak ramai yang tahu bahawa yang sebenarnya saya tidak mempunyai sebarang pengalaman dalam bidang rekaan. Apa yang saya belajar sehingga kini adalah belajar secara sendiri.
Sekiranya anda mahu mengetahui lebih lanjut mengenai saya, lawati website saya: http://ramesstudio.com ; atau blog saya: http://rames.blogspot.com dan di twitter: @ramesstudios
2. Beritahu kami mengenai portfolio anda yang dibanggakan:
Satu karya kesukaan saya adalah “Cry Me A River”. Saya mendapat banyak maklum balas dari pelawat blog, pereka lain dan juga rakan-rakan. Idea ini berasal dari salah satu lagu nyanyian Michael Bublé. Karya ini juga telah tersiar di banyak website reka visual.
3. Kongsikan pengalaman anda yang paling menarik didalam industri ini.
Saya telah dipelawa oleh artis tempatan yang bernama “Monsoon” untuk mereka muka hadapan album mereka. Projek ini adalah satu antara projek besar yang pernah saya lakukan. Masa diambil selama 2-3 bulan untuk menghasilkan konsep dan rekaan visual. Mereka berasa gembira dan teruja dengan hasil yang diberikan. Album tersebut diterbitkan secara rasmi di Mist Club, Bangsar dimana lebih 300 orang telah hadir pada acara yang gilang gemilang ini.
4. Pendapat anda mengenai industri ini di Malaysia:
pada pendapat saya, industri rekaan visual telah berkembang banyak berbanding beberapa tahun lepas. Lebih banyak sekolah senireka telah diwujudkan untuk memotivasikan dan mendedahkan pelajar terhadap senireka. Akan tetapi, ramai juga antara mereka yang takut untuk mengembara ke alam senireka. Ini kerana mereka kurang keyakinan terhadap industri senireka sebagai cabang karier mereka. Satu perkara yang selalu saya nasihatkan kepada mereka yang bersemangat waja ialah, sentiasa bersikap positif dan ikutlah firasat serta gerak hati anda. Jangan hiraukan kepada mereka yang berkata “kau tidak boleh lakukannya” dan buktikan yang kita BOLEH.
5. Akhir sekali, harapan anda terhadap industri kreatif pada masa akan datang:
Cuba untuk berasa seronok dan gembira terhadap apa yang kita lakukan. Tunjukkan pada dunia yang kita mampu serta berbakat dan teruskan menyumbang kepada industri senireka. Jangan biarkan sesiapapun menghalang kamu. Lakukan yang terbaik, Tuhan akan membantu kamu.