Setelah menguji Google+ dalam ujian beta selama hampir 3 bulan, kini secara rasminya, Google telah pun membuka Google+ kepada semua, dimana kini anda tidak lagi perlu melalui sebarang pautan untuk mendaftarkan diri untuk menyertai laman sosial daripada Google itu. Menariknya adalah dimana pelancaran ini kepada umum merupakan fungsi yang ke-100 diperkenalkan pada Google+.
Selain daripada pembukaan kepada umum, Google turut mengumumkan beberapa fungsi baru pada laman sosial terkemuka itu, dimana kini ianya turut membawakan sokongan Hangout pada aplikasi mudah-alih, sekaligus mungkin akan memberikan tamparan hebat kepada perkhidmatan Facebook Video Chat dan juga Facebook Messenger.
Pada masa yang sama, salah satu fungsi yang dinantikan ramai, iaitu carian turut sama diperkenalkan, dimana kini para pengguna boleh mencari pengguna yang mereka kehendaki, serta kemaskini yang pernah dikongsikan dengan mudah.
Bagi mereka yang masih lagi belum mendaftarkan diri pada laman sosial Google+ ini, anda boleh layari laman Google+ hari ini, dan mula mendaftarkan diri dengan mudah, tanpa sebarang jemputan dan sebagainya.