Carian
Ura-Ura : Spesifikasi Nokia SeaRay, Sabre Dan Nokia Ace Diperlihatkan
October 2, 2011 Aman

Dengan ramai mensasarkan tarikh 26 Oktober iaitu tarikh acara Nokia World untuk pelancaran peranti Windows Phone daripada Nokia, kini beberapa informasi dan spesifikasi mengenai peranti yang bakal dilancarkan mula kedengaran. Namun seperti biasa, ia masih lagi pada peringkat ura-ura, dan berkemungkinan ianya berbeza dengan produk akhir ketika pengumuman pelancarannya kelak.

Melalui apa yang diperlihatkan, spesifikasi untuk tiga peranti baru Windows Phone dari Nokia dilaporkan, iaitu Nokia SeaRay, Nokia Sabre dan juga Nokia Ace. Melalui Nokia SeaRay, ia diperkatakan yang ia akan membawakan skrin bersaiz 3.7-inci AMOLED, Clear Black Display, kamera 8-megapixel dengan optik CarlZeiss, cip pemprosesan 1.4Ghz dan juga storan terbina 16Gb padanya.

Selain daripada itu, Nokia Sabre pula membawakan skrin LCD seluas 3.7-inci, kamera 5-megapixel dan menggunakan cip pemprosesan 1.4Ghz.

Nokia Ace yang mana kedengaran buat pertama kali, dijangka turut sama akan membawakan cip pemprosesan 1.4Ghz, skrin AMOLED seluas 4.3-inci, Clear Black Display, kamera 8-megapixel dengan optik Carl Zeiss, sokongan HSPA+ dan juga storan terbina 16GB.

Kesemua peranti ini dijangka bakal menggunakan Windows Phone 7.5 Mango bersama-sama dengannya, dan mungkin akan mula dijual pada penghujung tahun ini, atau awal tahun hadapan.

Walaubagaimanapun, seperti dimaklumkan pada awal artikel, berkemungkinan spesifikasi ini hanya sekadar ura-ura sahaja, dan mungkin tidak benar. Sama-sama kita nantikan pengumuman rasmi pihak Nokia pada pelancarannya kelak yang dijangka pada 26 Oktober ini di Nokia World.

Komen