Ulasan Ringkas Laman Sosial Baru – DrBook.biz

Ulasan Ringkas Laman Sosial Baru – DrBook.biz

Diterbitkan pada Okt 4, 2011 oleh .

Sepertimana yang diperkatakan sebelum ini, akhirnya kini ia dilihat yang mana laman sosial daripada Dr Rozmey telah pun dilancarkan, dan boleh digunakan oleh umum, sekaligus menambah kepada beberapa jenama atas-talian milik Dr Rozmey yang lain seperti Dr Places dan sebagainya. Namun begitu, ia masih lagi pada peringkat awal pembangunan, dan memerlukan lebih banyak penambah-baikkan padanya.

Antaramuka

Secara ringkasnya, laman DrBook.biz ini membawakan antaramuka yang ringkas dan menarik, serta mudah digunakan, memandangkan ia membawakan rekabentuk yang menyerupai laman sosial terkemuka, iaitu Facebook.

Pada masa yang sama, penggunaan pendaftaran menggunakan Facebook Connect merupakan salah satu langkah bijak daripada pembangunnya dalam menarik pengguna menggunakan perkhidmatan mereka, dan memudahkan proses pendaftaran yang perlu dilalui.

Sasaran

Ia diperkatakan yang mana buat masa ini, kumpulan sasaran awal untuk laman sosial DrBook.biz ini adalah lebih kepada pengguna produk kesihatan dan juga pengedar produk-produk kesihatan milik Dr Rozmey.

Mungkin kelak ia boleh dijenamakan sebagai laman sosial berasaskan kesihatan sekiranya pembangun inginkan sesuatu yang unik, serta berkongsi pelbagai perkara menarik berkaitan kesihatan, selain menjadikannya salah satu tempat untuk dituju sekiranya perlukan rujukan berkaitan kesihatan.

Privasi

Salah satu perkara yang dilihat agak tidak menyedapkan hati pada laman sosial DrBook.biz ini adalah dimana ia tidak memperkenalkan sebarang kawalan privasi para penggunannya, selain mana semua pengguna samada berdaftar ataupun tidak boleh melihat kemaskini rakan-rakan lain mereka dengan mudah.

Perkara ini mungkin salah satu konsep dalam membolehkan semua pengguna berinteraksi antara satu sama lain dengan senang, disamping menambah kenalan baru padanya. Namun mungkin pihak pembangun DrBook.biz boleh memperkenalkan sedikit kawalan privasi, disamping menutup halaman utama daripada dipaparkan kepada umum, dan hanya memperlihatkan kotak pendaftaran seperti beberapa laman sosial yang lain pada halaman utamanya.

Terma Perkhidmatan

Beberapa pautan seperti terma & syarat perkhidmatan dan sebagainya masih lagi belum dikemaskini, dan mungkin lagi masih dalam proses awal pembangunan. Namun, ia sesuatu yang utama yang mana perlu diberi perhatian oleh para pembangunnya, disamping mengelakkan para pengguna mendaftar akaun tanpa mematuhi terma dan syaratnya.

Kawalan

Ia dilihat yang mana DrBook.biz telah pun mula mengawal penggunaan perkataan pada laman sosial mereka, yang mana merupakan salah satu perkara yang menarik dan bagus. Namun, ia turut diperkatakan, beberapa perkataan yang tidak membawakan sebarang maksud yang jahat (seperti CENDAWAN) turut dihalang oleh laman sosial tersebut. Walaubagaimanapun, kami masih tidak dapat mengesahkan perkara ini, memandangkan masih belum mencubanya sepenuhnya.

Kesimpulan

Memandangakn Dr Rozmey dan juga pihak disebalik Herba Prima mempunyai sebuah komuniti yang aktif, ia tidak mustahil untuk laman sosial ini pergi jauh kehadapan, dengan memfokuskan kepada beberapa topik menarik seperti kesihatan dan lain-lain. Namun ia diharap supaya laman sosial ini tidak dipasarkan hanya pada peringkat awal, dan kemudiannya hanya senyap begitu sahaja, seperti laman sosial 1Malaysia.com yang kini senyap tanpa sebarang berita.

Sama-sama kita nantikan perkembangan laman DrBook.biz.

Tips awal daripada Alif Amzari dan Omar.


TIPS & ULASAN