Hari ini, Adobe mengumumkan dua perkara menarik, dimana mereka telah mengambil-alih dua syarikat terkemuka yang semakin popular, iaitu TypeKit yang menawarkan inovasi dalam typografi berasaskan web, serta turut sama mengambil-alih Nitobi, iaitu syarikat disebalik aplikasi pembangunan PhoneGap yang menawarkan framework untuk pembangunan aplikasi mudah-alih berasaskan HTML5.
Bagi yang tidak kenali akan PhoneGap, melaluinya ia membolehkan para pembangun membangunkan aplikasi mudah-alih mereka pada pelbagai platform dengan mudah dan senang melalui penggunaan HTML5 dan juga JavaScript. Ia diperkatakan sehingga kini, telah lebih 600,000 kali aplikasi PhoneGap ini dimuat-turun oleh para pembangun seluruh dunia.
Selain daripada itu, TypeKit pula merupakan salah satu perkhidmatan berasaskan web, dimana memberikan pilihan typography kepada para pembangun laman dengan mudah. Melalui pengambil-alihan TypeKit ini, ia bakal menjadi sebahagian daripada perkhidmatan Adobe Creative Cloud, dan terus menambah portfolio dibawah Adobe.
Adobe tidak mengumumkan sebarang harga pembelian untuk kedua-dua syarikat ini buat masa ini.