Dunia IT tempatan semakin lama kelihatan semakin menarik, dimana terkini, sekumpulan pengkaji daripada Universiti Sains Malaysia telah pun membangunkan sebuah produk dan perisian yang dinamakan Endeavor, yang mana lebih ditujukan kepada para pengguna dalam industri perubatan. Bertambah menarik lagi apabila hari ini, mereka turut melancarkan sebuah aplikasi Android yang dinamakan Endeavor Mobile.
Melalui aplikasi Android yang diperkenalkan itu, ia membolehkan pakar-pakar perubatan, terutamanya seperti pakar radiologi dan yang lain untuk mengakses gambar-gambar berkaitan perubatan dengan mudah, sebagai contoh imej x-ray dan sebagainya. Ia juga sekaligus menjadi aplikasi Android pertama didunia yang memfokuskan tele-radiologi.
Buat masa ini, aplikasi Endeavor yang dilancarkan hanyalah versi asas, yang mana membawakan beberapa fungsi asas pada perisian tersebut. Kelak, USM dijangka akan melancarkan versi berbayar mereka tidak lama lagi, dengan beberapa ciri-ciri tambahan seperti sokongan kolaborasi atas talian dan sebagainya terus melalui aplikasi tersebut.
Sebelum ini, ia turut sama kedengaran yang mana USM bakal mengeluarkan tablet berasaskan Android mereka yang dipanggil The Padi, dan kini dengan berita mengenai aplikasi Android ini, mungkin kita akan dapat melihat lebih banyak berita berkaitan Android dalam masa terdekat ini.