Setelah Samsung sendiri mengeluarkan video promosi untuk peranti baru mereka, yang diperkatakan Nexus Prime, kini beberapa ura-ura awal mengenai spesifikasi Nexus Prime yang bakal dilancarkan pada 12 Oktober ini mula kelihatan. Menariknya, kini ia dilaporkan yang mana Nexus Prime kelak akan dikenali sebagai Galaxy Nexus, dan beberapa info spesifikasinya turut kelihatan.
Melalui ura-ura baru yang kedengaran, ia diperkatakan yang mana Nexus Prime bakal membawakan skrin Super AMOLED HD bersaiz 4.65-inci dengan rekabentuk melengkung, resolusi skrin pada 1280×720, membawakan kamera belakang 5-megapixel dengan sokongan rakaman video HD pada 1080p, serta kamera hadapan 1.3-megapixel untuk panggilan video. Ia juga bakal membawakan sokongan NFC padanya, membolehkan para pengguna menggunakan Google Wallet dan beberapa perkhidmatan lain dengan mudah.
Nexus Prime juga diperkatakan akan membawakan cip pemprosesan 1.2GHz dwi-teras, serta 1GB RAM bersama-sama dengannya. Dan memandangkan ia merupakan peranti rasmi pertama untuk Ice Cream Sandwich, ia tidak akan membawakan sebarang perubahan antaramuka, dan hanya akan menggunakan antaramuka asal Android sahaja.
Walaubagaimanapun, info berkaitan tarikh jualannya, serta bilakah ia akan mula dijual masih tidak diketahui buat masa ini. Pada masa yang sama, ura-ura spesifikasi ini masih belum disahkan. Sama-sama kita nantikan 12 Oktober ini untuk pengumuman rasmi bersama oleh Samsung dan juga Google berkaitan peranti baru mereka ini.