Seperti sedia maklum, Facebook merupakan laman sosial terkemuka didunia, dengan lebih 800 juta pengguna, dan hampir 170 juta dari Asia, dengan 11 juta daripadanya adalah dari Malaysia sendiri. Sejak tahun lepas, pengguna Facebook di Malaysia telah meningkat dengan drastik, namun peningkatannya akhir-akhir ini telah menjadi sedikit perlahan berbanding suku tahun yang lepas.
Secara kasarnya, kini Malaysia merupakan negara yang ke-5 di Asia dengan angka pengguna Facebook melangkaui angka 11.7 juta orang pengguna. Ini memperlihatkan penurunan satu anak tangga, dengan hanya lebih kurang 5% peningkatan sahaja sejak daripada awal bulan Julai yang lepas.
Dengan angka 11.7 juta pengguna di Malaysia, ia turut menjadikan hampir 68% daripada pengguna internet di Malaysia mempunyai akaun Facebook mereka masing-masing. Ini mungkin salah satu sebab mengapa angka peningkatannya semakin berkurangan, apatah lagi kini mereka mempunyai pelbagai pilihan lain yang menarik, termasuk Google+ yang baru memperkenalkan perkhidmatan mereka.