Ulasan Ringkas : Platform Mudah-Alih Baru Daripada Apple – iOS 5

Ulasan Ringkas : Platform Mudah-Alih Baru Daripada Apple – iOS 5

Diterbitkan pada Okt 12, 2011 oleh .

Seperti semua sedia maklum, bermula lewat hari ini, Apple akan memperkenalkan kemaskini iOS 5 kepada para penggunanya yang mana akan membawakan pelbagai perkara baru bersama-sama dengannya, termasuk fungsi notifikasi yang dinantikan oleh ramai pengguna iOS sehingga kini.

Skrin Utama

Melalui iOS 5, perubahan dapat dilihat bermula daripada skrin utama iPhone, iPad dan iPod anda lagi, dimana beberapa ikon baru diperlihatkan. Antara ikon dan aplikasi baru yang diperlihatkan pada skrin utama, adalah termasuk Videos, Reminders dan juga Newstand.

Notifikasi

Seperti semua sedia maklum, salah satu fungsi baru yang didatangkan bersama-sama dengan iOS 5 adalah sokongan notifikasi, dimana anda boleh mengikuti kemaskini untuk emel, SMS, rangkaian sosial, dan sebagainya dengan mudah terus melalui hanya satu lokasi sahaja. Pada masa yang sama, anda juga boleh menetapkan apakah yang anda ingin lihat pada notifikasi, dan mengawalnya dengan lebih mudah, sekaligus memudahkan anda mengikuti pelbagai perkembangan dengan mudah dan pantas.

Integrasi Twitter

Menariknya melalui iOS 5 juga adalah dimana Twitter diintegrasikan secara mendalam padanya, memudahkan para pengguna berkongsi pelbagai perkara terus melalui Twitter, samada ketika anda sedang menggunakan aplikasi lain, seperti Photos, melayari web Safari dan sebagainya. Ia sekaligus memudahkan anda berkongsi pelbagai perkara terus pada Twitter tanpa perlu melalui pelbagai proses seperti sebelum ini.

Sokongan Mencari Telefon

Platform iOS 5 yang terkini juga turut sama didatangkan bersama-sama dengan sokongan untuk para pengguna mencari telefon pintar iPhone mereka secara atas-talian, dan mengawalnya, termasuk mengunci, ataupun memadam data padanya dengan mudah.

iMessage

Sokongan permesejan baru yang diperkenalkan oleh Apple ini terbina sepenuhnya didalam aplikasi Message pada iOS, membolehkan anda menghantar teks, gambar, lokasi, video dan sebagainya kepada pengguna iOS yang lain dengan mudah dan senang, seumpama aplikasi BBM pada BlackBerry. Kami akan menerangkan dengan lebih mendalam mengenai fungsi iMessage ini dalam artikel berikutnya.

Integrasi iCloud

Seperti sedia maklum, melalui iOS 5 ini, ia turut membawakan integrasi iCloud, membolehkan anda menyimpan dan mengakses fail pada pelbagai peranti iOS dengan mudah dan pantas. Kami akan menjelaskan lebih mengenai iCloud ini dalam artikel berasingan pada lewat hari ini.

Sokongan Sync Melalui WiFi

Dengan pengenalan iTunes 10.5 semalam, ia turut membawakan sokongan WiFi Sync yang mana membolehkan semua peranti iOS 5 di sync kepada komputer dengan iTunes dengan mudah melalui WiFi. Dengan ini, ia membolehkan anda mengakses fail dan memastikan semua peranti iOS anda mempunyai fail yang serupa untuk diakses dengan pantas dan mudah.

Lain-Lain

Selain daripada itu, iOS 5 juga akan memulakan era bebas komputer untuk peranti iOS dimana kelak anda tidak lagi perlu menyambungkan peranti anda kepada komputer untuk menerima kemaskini. Aplikasi Reminder juga kelihatan amat menarik, memudahkan anda mengingati pelbagai perkara dengan mudah, disamping melanggan pelbagai buku, majalah dan sebagainya melalui Newsstand. Dan seperti pernah dimaklumkan sebelum ini, fungsi Siri hanya eksklusif untuk iPhone 4S dan tidak didatangkan bersama-sama dengan iOS 5.

iOS 5 dijangka akan mula diperkenalkan kepada semua pengguna bermula daripada lewat hari ini. Kami akan memuat-naik video ulasan ringkas iOS 5 tidak lama lagi, memberikan lebih idea berkenaan dengan platform baru daripada Apple ini.

Terima kasih kepada @Rizuani


TIPS & ULASAN