Ulasan Huawei Vision : Telefon Android Dari China

Ulasan Huawei Vision : Telefon Android Dari China

Diterbitkan pada Okt 24, 2011 oleh .

Minggu lalu saya telah diberikan sebuah telefon pintar dari Huawei iaitu Huawei Vision untuk dicuba selama seminggu. Ikhlas saya katakan ketika mendengar nama HUAWEI saya terus bertanya kepada tuan editor sama ada beliau ada produk lain yang boleh saya tulis ulasannya. Ya, jenama Huawei bukanlah jenama yang gah dan terkenal seperti HTC ataupun Samsung. Selepas melakukan ulasan telefon ini saya harus akui untuk telefon baru daripada Huawei ini, keupayaannya untuk melakukan tugasan harian adalah boleh dibanggakan bagi sebuah telefon “murahan”.

Huawei Vision ialah sebuah telefon Android Gingerbread yang mempunyai pemproses Snapdragon 1 GHZ. Ia juga turut dilengkapi dengan kamera 5MP dan RAM sebanyak 512 MB. Dari segi spesifikasi ianya hampir menyerupai dengan Samsung Galaxy S dan Nexus S. Perbezaannya hanya pada skrin SAMOLED dan pemproses Hummingbird pada dua peranti keluaran Samsung ini.

Sekilas pandang Huawei Vision juga mempunyai rekabentuk seperti Nexus S. Jika Nexus S mempunyai skrin yang melengkung dari atas ke bawah, Vision mempunyai skrin yang melengkung dari sisi ke sisi seperti yang ada pada Nokia N9. Lengkungan ini memudahkan penatalan (scrolling) diantara skrin yang ada. Skrin LCD padanya terang tetapi semestinya tidak secantik paparan skrin AMOLED yang kini boleh dikatakan menjadi standard pengeluar telefon bimbit yang lain.

Bercakap tentang skrin, Vision menggunakan antaramuka tiga demensi yang lain dari yang biasa kita lihat pada peranti Android. Sebenarnya antaramuka 3D ini hanyalah merupakan launcher SPB Shell 3D yang diubah suai dengan penjenaam Huawei. Ini memberikan antaramuka Vision rupa yang unik dan lain dari yang lain. Jika anda kurang gemar dengan antaramuka 3D, launcher Android yang biasa turut disertakan bersama.

Keupayaan melayari internet, telefoni dan multimedia telefon ini juga boleh dibanggakan. Kelemahan yang boleh dilihat cuma pada kualiti gambar yang diambil yang tidak berapa tajam dan agak grainy. Untuk tujuan mengambil gambar untuk kegunaan perkongsian pada laman sosial seperti Facebook dan Twitter kamera yang disertakan memang sudah mencukupi tetapi untuk mengambil gambar beresolusi tinggi, kualitinya mungkin kurang memuaskan.

Pada kegunaan biasa, bateri Huawei Vision sebesar 1400 mAh  mampu bertahan sehingga 14 jam. Sekiranya anda banyak menggunakan Twitter, Facebook dan melayari web, bateri mampu bertahan hanya sekitar 8 jam. Bercakap tentang bateri, bateri Huawei Vision adalah sama seperti yang terdapat pada iPhone yakni tidak boleh diakses. Panel belakang hanya membenarkan akses kepada slot kad SIM dan kad SD.

Akhir kata Huawei Vision ialah telefon Android yang mempunyai keupayaan yang memuaskan bagi sebuah telefon pintar idalam kategori murah dan mampu milik pada harga RM1099. Ianya sebuah telefon yang sesuai bagi mereka yang baru mahu berjinak-jinak dengan telefon berperisian Android. Antaramuka SPB Shell 3D juga memberikan Vision kelainan dari peranti Android yang lain.


TIPS & ULASAN