WOWLoud – Perkhidmatan Muzik-Awan Malaysia Dilancarkan Dalam Bentuk Beta Tertutup

WOWLoud – Perkhidmatan Muzik-Awan Malaysia Dilancarkan Dalam Bentuk Beta Tertutup

Diterbitkan pada Okt 14, 2011 oleh .

Salah satu perkhidmatan web yang dinantikan ramai pengguna tempatan adalah perkhidmatan muzik-awan seumpama Spotify dan sebagainya. Sebelum ini, Google Music turut telah mendapat perhatian ramai pengguna tempatan, dan kini menariknya, salah satu perkhidmatan baru muncul dengan nama WOWLoud yang mana memfokuskan sepenuhnya kepada pasaran tempatan dan juga pasaran Asia.

Buat masa ini, WOWLoud masih lagi pada peringkat beta tertutup, dimana hanya beberapa pengguna yang terpilih sahaja dapat mengujinya. Walaupun masih pada beta tertutup, mereka nampaknya telah bersedia dengan pelbagai pilihan lagu tempatan dan juga antarabangsa pada laman mereka.

WOWLoud menawarkan perkhidmatan mereka dalam bentuk percuma dan juga berbayar. Seperti sedia maklum, perkhidmatan percuma selalunya didatangkan dengan beberapa had, dan WOWLoud hanya membenarkan pengguna akaun percuma mendengar lagu selama 20 jam sebulan melaluinya dan juga akan turut diperlihatkan bersama-sama iklan. Untuk mengatasi perkara ini, para pengguna boleh mendapatkan akaun berbayar WOWLoud pada kadar RM9.90 sebulan, dmana melaluinya boleh mendengar lagu tanpa had, dan tiada iklan yang akan diperlihatkan.

Pada masa yang sama, WOWLoud juga bakal memperkenalkan aplikasi mudah-alih mereka untuk para pengguna melalui pakej Premium Plus. Namun maklumat mengenai pakej Premium Plus masih tidak diketahui buat masa ini.

WOWLoud juga pada masa yang sama mengatakan laman mereka mesra Facebook dan juga Twitter, membolehkan anda berkongsi lagu yang digemari bersama-sama rakan lain. Mereka turut menyediakan sebuah aplikasi khas untuk pengguna Windows dan Mac untuk mendengar lagu terus pada desktop, tanpa membuka pelayar web.

Buat masa ini, ia masih tidak diketahui bilakah WOWLoud akan dilancarkan kepada umum.

Tips awal daripada @RotiKaya


TIPS & ULASAN