Jikalau sebelum ini anda hanya boleh sekadar menguji sistem operasi Ubuntu melalui LiveCD, kini pihak pembangun Ubuntu melangkah setapak kehadapan, dengan menyediakan demo dalam bentuk HTML5, membolehkan anda mengaksesnya terus melalui pelayar web anda, sebelum mula memuat-turunnya ke desktop anda.
Melalui demo berasaskan pelayar web ini, para pengguna boleh melakukan dan melihat beberapa perkara ringkas melaluinya, dan mendapatkan idea awal bagaimana sistem operasi Ubuntu ini kelihatan dan menguji beberapa aplikasi popular padanya.
Perkara ini disediakan melalui sebuah halaman khas dinamakan Ubuntu Tour. Sebelum ini, halaman ini hanya memperlihatkan beberapa paparan antaramuka dalam bentuk imej sahaja, dan ianya merupakan salah satu perkara yang menarik untuk pihak Ubuntu memperlihatkan sistem operasi mereka dalam bentuk demonstrasi HTML5.
Sebelum ini, pada hari Khamis yang lepas, pembangun Ubuntu telah pun melepaskan versi terkini sistem operasi mereka, iaitu Ubuntu 11.10 Oneiric Orcelot, yang mana membawakan pelbagai perkara baru bersama-sama dengannya.