Cari @ Amanz

Hari ini, Samsung secara rasminya mengumumkan yang mana jualan peranti Galaxy S mereka, iaitu Samsung Galaxy S dan juga Samsung Galaxy S2 telah pun terjual melebihi 30 juta unit seluruh dunia. Menariknya, pengumuman ini dikeluarkan sebaik sahaja selepas pengumuman Apple mengatakan iPhone 4S telah terjual lebih daripada 4 juta unit dalam tempoh tiga hari.

Galaxy S sebelum ini telah dilancarkan pada tahun 2010, memperlihatkan jualan melebihi 20 juta unit seluruh dunia, dan peranti generasi baru yang diperkenalkan, iaitu Galaxy S2 telah menjadi salah satu peranti yang terjual dengan pantas, dimana sehingga kini telah terjual melebihi 10 juta unit seluruh dunia sejak dilancarkan lima bulan yang lepas.

Sebelum ini, Samsung Galaxy S2 turut sama telah memenangi anugerah peranti pintar terbaik untuk tahun 2011 di UK, mengalahkan pesaing-pesaingnya yang lain. Dan kini, ura-ura mengenai Samsung Galaxy S3 yang bakal diperkenalkan pada tahun depan telah pun mula kedengaran.

Samsung juga dijangka bakal memperkenalkan Nexus Prime esok bersama-sama Google, yang mana akan dijana menggunakan Android 4.0 Ice Cream Sandwich.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd