Sebelum ini, pada bulan September yang lepas, Google telah pun memperkenalkan kemaskini antaramuka baru untuk para pengguna Blogger. Ketika itu, ia hanya diperkenalkan sebagai salah satu pilihan sahaja, dan kini nampaknya Google akan mengaktifkan antaramuka baru untuk semua pengguna, mengantikan antaramuka lama dalam tempoh dua minggu lagi.
Melalui rekabentuk dan antaramuka baru pada Blogger, ianya lebih kemas dan pantas berbanding sebelum ini. Pada masa yang sama, antaramuka baru juga lebih mesra iPad, serta membawakan beberapa fungsi tambahan bersama-sama dengannya.
Mungkin perubahan rekabentuk baru kepada semua pengguna Blogger merupakan salah satu usaha Google dalam memastikan semua produk mereka mempunyai pengalaman penggunaan yang lebih kurang sama, dan mengikut penjenamaan mereka.
Bagi mereka yang berminat untuk mengaktifkannya serta-merta, sebelum Google mengaktifkannya dalam tempoh 2 minggu lagi, anda boleh klik pada pautan mencuba rekabentuk baru pada bahagian Dashboard di Blogger.