Mungkin semua sedia maklum mengenai perancangan Les Copaque untuk memperkenalkan taman tema Upin dan Ipin. Menariknya, kini kami berjaya mendapatkan beberapa informasi tambahan mengenainya, dimana taman tema yang kini dalam perancangan awal itu mungkin bukan eksklusif untuk Upin dan Ipin sahaja, tetapi turut akan menyertakan animasi lain keluaran Les Copaque.
Seperti semua sedia maklum, Les Copaque bakal memperkenalkan animasi Pada Zaman Dahulu tidak lama lagi, iaitu pada bulan Disember kelak di saluran TV Al-Hijrah. Menariknya, kami juga mendapat maklumat awal daripada pihak Les Copaque yang mana mereka kini dalam perancangan awal untuk mengeluarkan siri animasi ketiga mereka, mungkin seawal tahun hadapan, dan dikenali sebagai Puteri buat masa ini.
Berbalik kepada perkara awal, Les Copaque kini turut sama telah pun memulakan usaha awal untuk pembangunan taman tema mereka, dimana ia disasarkan untuk dibuka seawal tahun 2015 kelak. Namun, ia masih dalam perancangan awal, dan mungkin mengambil-masa yang lebih lama, mahupun diperkenalkan lebih awal kepada para peminat mereka.
Taman tema yang kelak akan dibina di Sepang itu, dijangka akan berkeluasan sehingga 200 ekar, dimana selain daripada taman tema, pejabat operasi utama Les Copaque juga berkemungkinan besar akan dibuka disana. Namun segalanya masih diperingkat awal lagi.
Kami akan cuba mendapatkan lagi maklumat lanjut mengenai taman tema daripada Les Copaque ini, selain mana turut mendapatkan maklumat mengenai siri animasi ketiga daripada Les Copaque yang dikenali sebagai Puteri.
Sebelum ini, Les Copaque telah mengeluarkan siri animasi Upin dan Ipin, selain mana turut mengeluarkan siri ringkas dinamakan sebagai Ingat. Mereka bakal mulakan tayangan siri animasi kedua mereka, iaitu Pada Zaman Dahulu pada bulan Disember ini.