Carian
Apple Bakal Membawakan Sokongan Peta 3D Melalui Pengambil-Alihan C3 Technologies
October 30, 2011 Aman

Nampaknya, Apple tanpa Steve Jobs akan kekal menarik, dimana kini ia dilaporkan yang mana Apple telah pun membeli syarikat pemetaan 3D iaitu C3 Technologies pada bulan Ogos yang lepas, sekaligus memberikan idea mungkin Apple akan mengantikan peta Google Maps yang digunakan sekarang dengan sistem pemetaan mereka sendiri dalam generasi iOS akan datang.

Buat masa ini, C3 Technologies terus beroperasi secara berasingan dengan Apple di Sweden, dimana kini ia dipanggil sebagai Sputnik. Untuk makluman semua, C3 Technologies merupakan pembangun sistem pemetaan 3D yang menawarkan gambar dalam bentuk kualiti tinggi dengan gambar yang lebih menarik dan terperinci lagi.

Dengan cip pemprosesan yang digunakan sekarang oleh Apple yang membawakan grafik yang lebih tinggi, semestinya sokongan 3D pada pemetaan mereka tidak sukar. Buat masa ini, mungkin ia masih lagi pada peringkat awal, dan mungkin kita tidak akan melihat integrasinya pada iOS 6, dan mungkin juga ya.

Sebelum ini, Apple telah mengambil-alih aplikasi Siri, dan mengintegrasikannya secara mendalam bersama-sama iPhone 4S mereka, yang mana telah menarik minat ramai pembangun. Mungkinkah Apple turut sama akan merevolusikan dunia pemetaan 3D tidak lama lagi?

Sama-sama kita nantikan perkembangannya dan apakah yang akan dibawakan oleh Apple melalui aplikasi pemetaan ini.

Komen