Penafian : Artikel ini ditulis oleh Effi seorang elitis desktop. Sepanjang “kareer” Effi selama 13 tahun menggunakan komputer tidak pernah sekalipun dia memiliki sebuah komputer riba. Ada beberapa sebab kenapa dia kurang gemar dengan laptop. Pertama sekali laptop dikatakan kurang berkuasa dari sebuah desktop. Keduanya skrin laptop paling besar pun tidak boleh melawan skrin sebuah desktop. Kena pula orang seperti Effi yang gemar menggunakan multiple display. Adi-Elitis perlukan skrin yang besar lagi memudahkan aliran ilham ke hujuag jari seterusnya menghasilkan mahakarya yang dikagumi ramai.
Alasan aku menggunakan skrin besar ialah pada usia aku yang menjangkau 30 tahun, mata aku dah tak berapa tajam. Bila melihat paparan skrin laptop kerap kali aku terpaksa besarkan kerana sukar benar untuk membaca tulisan halus. Jika melakukan tugasan merubah gambar didalam Photoshop pula, skrin 13″ sebuah komputer riba itu masih terlalu kerdil jika dibandingkan dengan skrin 27″ yang aku gunakan sekarang.
Aku yakin pemberian Acer Aspire S3 ini oleh pihak editorial Amanz ialah percubaan jarum halus untuk menarik aku ke sisi gelap (dark side). Mereka semua tahu betapa aku cukup jengkel untuk gunakan komputer riba. Satu lagi alasan aku diberikan tanggung jawab mengulas Ultrabook pertama di Malaysia ini. Mungkin adalah kerana aku pengguna tunggal Windows di dalam sidang redaksi Amanz.my. Malah secara default akulah yang akan menggunakan dan menulis artikel ulasan komputer riba ini selama enam minggu.
Ikhwan Nazri merupakan pengguna Macbook Pro empat teras yang terasnya keras seperti kuku Wolverine. Begitu juga Firdaus Arif yang aku rasakan terasnya tidak sekeras Ikhwan Nazri tetapi masih keras seperti granit Langkaswi. Aman Firdaus pula seorang purist perkomputeran yang percaya Ubuntu ialah perisian terbaik dalam peradaban IT. Walaubagaimanapun dia juga sudah menggunakan Macbook sejak komputer ribanya wafat akibat selesema motherboard dan AIDS paparan skrin bulan lalu (Alfatihah). Tinggallah aku sahaja pengguna tegar Windows tegar.
Jadi apakah Ultrabook dan mengapa kamu harus peduli akan kemunculan satu lagi spesis didalam cabang evolusi dunia perkomputeran mudah alih dunia ini. Adakah evolusi terbaru ini akan mati awal seperti kegilaan Netbook suatu masa dahulu? Mungkinkah Ultrabook akan membawa perubahan kepada dunia perkomputeran mudah alih? Aku menggunakan bahasa bombastik kerana aku hanya mengeluarkan semula apa yang aku baca dari lepasan akhbar untuk Ultrabook yang sedang terpapar pada skrin monitor kedua aku sekarang (ha!).
Mari menjawab soalan yang pertinen tadi.
Apa itu Ultrabook? Jawapan jenakanya ialah buku yang dbaca Ultraman sebelum beradu. Jawapan seriusnya pula Ultrabook ialah komputer yang harus mempunyai berat kurang 1.4 kilogram. Ketebalan maksimumnya tidak boleh lebih dari 20 milimeter. Pemproses harus dari keluarga Sandy Bridge dan mempunyai ketahanan bateri diantara 5-8 jam. Ini bahasa teknikal orang dibahagian jualan. Dalam bahasa tak teknikal orang marhaen, biasa-biasa, tepi siar jalan dan tidak berapa geek – Ultrabook ialah Macbook Air tanpa perisian Apple dan logo epal dimakan sekerat (barangkali kerana epal yang dikunyah tidak sedap. Makan tak habis kerana tak boleh ditelan ketidak sedapannya). Ya Ultrabook ialah jawapan dari Intel dan Windows kepada soalan “Apa korang boleh buat?” yang diajukan oleh Apple.
Dari segi harga Acer Aspire S3 ditangan aku ini memang lebih murah dari MacBook Air yang mempunyai spesifikasi yang lebih kurang sama. Apa lagi perbezaan dan persamaan diantara Macbook Air dan Acer Aspire S3 ini? Berbaloikah membelinya? Jika minum kopi elitis di Starbucks dengan Acer Aspire S3 adakah anda akan kelihatan bergaya? Ah! Simpan persoalan kamu untuk entry-entry ulasan yang akan datang. Macam sebuah karya novella agung harus ada bahagian kepala, badan. kaki dan akhirnya ekor. Entry ini ialah kepalanya.
Jadi mari kita mulakan siri ulasan Acer Aspire S3 Ultabook dengan video nyahkotak dahulu. Jumpa anda dalam semula didalam bahagian kedua ulasan komputer riba ini dalam masa beberapa hari lagi insya Allah. Oh dan didalam video ini ada beberapa kesilapan kecil dan diharapkan pembaca Amanz bakal dijadikan bahan humor pembaca di ruangan komen. Ikhlas aku katakan membuat video secara spontan tanpa skrip yang ditulis terdahulu memang sukar. Sedangkan typo penulisan aku boleh lakukan apakan pula typo mulut? Sila tonton dahulu dan ketawa kemudian.
RALAT : Acer Aspire S3 menggunakan Windows 7 Home Premium bukan XP. Pembaca kad SD juga ada, penulis tidak perasan ketika nyahkotak kerana terlalu gembira yang tidak munasabah.