Seperti semua sedia maklum, pelancaran Samsung Galaxy Note di Malaysia semakin dekat, dimana Samsung telah pun mengesahkan pelancaran Galaxy Note dirantau ini pada minggu hadapan, yang mana bakal diadakan di Jakarta, Indonesia. Selain daripada itu, siri jelajah Galaxy Note juga bakal diadakan di Malaysia, bermula pada minggu hadapan, dimana ia bakal diadakan di Kuala Lumpur, Johor Bahru dan juga Pulau Pinang.
Melalui Galaxy Note, Samsung membawakan peranti diantara keluarga telefon pintar dan juga tablet, dimana ia membawakan skrin seluas 5.3-inci dengan paparan Super AMOLED HD. Galaxy Note turut sama menggunakan cip pemprosesan dwi-teras 1.4Ghz, kamera belakang 8-megapixel, kamera hadapan 2-megapixel, sokongan NFC, stylus terbina dipanggil S Pen, dan juga menggunakan Android 2.3 Gingerbread padanya.
Di Malaysia, siri jelajah akan diadakan bermula daripada 11 November sehingga 13 November, di tiga lokasi berikut, iaitu Pavilion Kuala Lumpur, Queensbay Mall, Pulau Pinang, dan juga AEON Tebrau, Johor Bahru.
Mungkin kita akan dapat mendengar lebih maklumat, termasuk harga dan tarikh jualan peranti ini pada minggu hadapan. Kami akan membawakan ulasan penuh peranti ini dalam masa beberapa hari lagi.