Akhirnya, setelah memperkenalkan kebolehan untuk menonton video bersama-sama rakan lain, kini Google turut sama mengintegrasikan YouTube pada laman sosial mereka, membolehkan para pengguna Google+ menonton video kegemaran mereka dengan mudah, terus melalui laman sosial tersebut, dalam bentuk yang lebih interaktif dan menarik, berbeza dengan sebelumnya.
Melalui halaman tab yang diperlihatkan pada bahagian kanan laman Google+, kini para pengguna boleh membuat carian video yang digemari mereka dengan mudah, seterusnya memainkannya dalam tetingkap baru.
Melalui tetingkap baru yang dibuka juga, ia memainkan semua video dengan kata kunci yang anda buat carian, dan anda boleh ikuti video-video yang berkaitan dengan kata kunci yang anda mainkan dengan mudah.
Pada masa yang sama, video yang dimainkan juga membawakan butang perkongsian, membolehkan anda berkongsi bersama-sama dengan rakan anda yang lain di Google+ dengan pantas dan senang.
Mungkin kita akan melihat pelbagai lagi perubahan pada laman sosial Google, disamping integrasi perkhidmatan Google yang lain pada laman tesebut. Sama-sama kita nantikannya.