Mungkin semua sedia maklum akan yang mana Google menyokong fungsi OAuth melalui akaun mereka. Dan menariknya, kini ia kelihatan Facebook mula menyokong fungsi tersebut, dimana apabila kini para pengguna meminta untuk mengubah kata laluan akaun Facebook mereka, sebuah kotak dialog baru diperlihatkan, menjadikan pengubahan kata laluan lebih mudah dan pantas berbanding sebelum-sebelum ini.
Sebelum ini, apabila para pengguna meminta untuk menukar atau mengubah kata laluan, Facebook akan menghantar emel, dan seterusnya para pengguna perlu klik pada pautan yang disertakan padanya sebelum kata laluan diubah kepada yang baru.
Kini, melalui perubahan yang diperkenalkan, Facebook mengambil peluang daripada fungsi OAuth, dimana sekiranya anda melalui pelayar web yang sama telah log masuk ke akaun Google, maka sebuah kotak dialog baru akan diperlihatkan, membolehkan anda mengubah kata laluan serta-merta tanpa perlu melalui pelbagai langkah seperti sebelum ini.
Walaubagaimanapun, sama seperti akaun-akaun dan aplikasi yang lain, para pengguna perlu memberikan kebenaran untuk mengakses akaun Google terlebih dahulu untuk kali pertama, dan untuk kali kedua dan seterusnya ianya akan berfungsi secara automatik.
Mungkin selepas ini, kita akan dapat melihat lebih banyak aplikasi mula mengintegrasikan fungsi yang lebih kurang sama satu per satu.